X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Penipuan dalam talian catat kerugian RM380 juta

Muhammed Hasbullah bercakap pada sidang media mengenai Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 15,935 kes penipuan dalam talian dengan nilai kerugian kira-kira RM380 juta direkodkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah (Pengubahan Wang Haram/Siasatan Perakaunan Forensik), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, jumlah itu melibatkan antaranya African Scam, Macau Scam, pinjaman tidak wujud, pelaburan dan e-dagang.

Menurut beliau, statistik itu amat merisaukan kerana ia menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia yang mudah terpengaruh dengan modus operandi sindiket penipuan terbabit dan JSJK mendapati, sejak 10 tahun kebelakangan ini, kes melibatkan penipuan dalam talian merekodkan peningkatan sebanyak 60.6 peratus.

“Oleh itu, JSJK akan mengadakan kempen pencegahan jenayah komersial (jenayah dalam talian) mulai 8 November depan peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada segenap lapisan masyarakat mengenai modus operandi yang digunakan sindiket penipuan ini untuk menipu mangsa,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Muhammed Hasbullah berkata, kempen besar-besaran yang akan dilaksana dengan kerjasama syarikat korporat dan badan bukan kerajaan itu diharap berjaya memberikan pendedahan serta ilmu berguna kepada orang ramai bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa.

“Semasa kempen berkenaan, orang ramai akan didedahkan dengan kemudahan yang disediakan oleh JSJK kepada masyarakat seperti aplikasi Semak Mule dan talian info JSJK untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!