Pegawai tidak beretika berdepan hukuman berat

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan bahawa tindakan tegas dan hukuman berat bakal menanti mana-mana individu atau pegawai yang terlibat dengan perbuatan tidak senonoh dan gangguan seksual terhadap atlet.

Tegasnya, perbuatan seumpama itu seharusnya tidak berlaku terutama dalam kalangan jurulatih atau pegawai yang merupakan individu penting yang melatih dan menjaga kebajikan atlet negara.

Menurut beliau, isu gangguan seksual atau bicara lucah bukan sahaja boleh merosakkan industri sukan negara, sebaliknya ia boleh 'memusnahkan' keseluruhan harapan besar atlet serta keluarga yang telah mengamanahkan pihak pengurusan menjaga permata negara ini.

Misalnya kata beliau, atlet terjun negara, Lee Mun Yee telah dihantar ke sekolah sukan sejak berusia 10 tahun dan ibu bapanya pasti risau bagaimana keadaan dan kehidupan anak di luar sana tanpa pengawasan mereka.

"Bayangkan musnahnya harapan ibu bapa apabila melihat anak yang telah diserahkan sejak kecil kepada pengurusan sukan negara tetapi kebajikan serta hak mereka dicabuli.

"Ini soal kemanusiaan dan maruah. Maka kita tidak boleh pandang ringan perkara seumpama dan hukuman berat pasti akan diambil ke atas individu terlibat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program wacana Kompas Rasuah Busters bertajuk 'U-18: Tanggungjawab Atau Liabiliti' bersama tiga panelis lain iaitu Ketua Pejuanita Muda Parti Pejuang, Dr Nurul Ashikin Mabahwi; Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai dan Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy.

Pada 21 Oktober lalu, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menerusi akaun Twitternya memuat naik isu gurauan mengenai rogol sebagai tidak kelakar dan mereka yang teraniaya perlu tampil bersuara.

Artikel Berkaitan:

Malah pada ciapan di laman Twitternya itu, Pandelela turut mendakwa bekas jurulatihnya suka membuat lawak lucah sebelum individu terbabit berdepan isu rogol melibatkan seorang penerjun negara beberapa tahun lalu.

Ciapan Pandelela itu kemudiannya menjadi tular apabila diulang kicau lebih 10,000 kali dan mendapat 11,000 tanda suka sehinggakan ia turut melibatkan ciapan daripada Ahmad Faizal sendiri, selain Menteri Kesihatan yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, dia mahu mengetahui sendiri apa yang telah didedahkan oleh ratu terjun negara berusia 28 tahun itu, sekali gus mahu membantu menyelesaikan 'igauan ngeri' yang dilalui Pandelela.

Katanya, satu pertemuan bersama Pandelela akan diadakan dalam masa terdekat, seterusnya berusaha membela nasib golongan atlet yang dicabuli hak peribadi masing-masing.

"Saya masih belum dapat bertemu dengan Pandelela kerana kesibukan jadual masing-masing.

"Namun saya berjanji akan menyelesaikan isu ini demi kebajikan semua atlet terlibat, sekali gus menjaga nama Malaysia daripada terpalit dengan isu yang boleh menjejaskan prestasi atlet serta merosakkan industri sukan negara," katanya.