PRN Melaka: Rundingan bahagi kerusi PH 90 peratus

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Rundingan pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah selesai 90 peratus.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp pada Rabu berkata, pembahagian kerusi itu akan dimuktamadkan dalam minggu ini.

“Dapatkan majoriti dahulu,” katanya ketika ditanya mengenai calon ketua menteri yang akan diketengahkan PH.

Mengenai rundingan PH bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) seperti yang dimaklumkan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini, bekas ketua menteri itu berkata PH terbuka untuk perbincangan.

“PH sedia buka pintu perbincangan supaya pembangkang boleh sepakat dan mempunyai satu calon sahaja,” katanya.

Syed Saddiq pada Rabu dilapor berkata, Muda berhasrat bertanding dan kini berunding dengan PH bagi meletakkan calon MUDA pada PRN berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama

Artikel Berkaitan: