Kadar keciciran murid di Sarawak menurun

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar keciciran murid peringkat rendah di Sarawak menurun daripada 0.34 peratus pada 2016 kepada 0.25 peratus pada 2020, menurut statistik Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM melalui jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu bagaimanapun memaklumkan kadar keciciran peringkat sekolah menengah meningkat daripada 2.23 peratus pada 2016 kepada 3.38 peratus pada 2020 (berdasarkan data seperti pada 30 Jun pada setiap tahun).

Menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai masalah keciciran murid sekolah di Sarawak termasuk kawasan Parlimen Igan sejak lima tahun lepas, faktor berlaku masalah itu dan tindakan yang diambil, KPM memaklumkan kadar keciciran murid sekolah menengah kerajaan dan bantuan kerajaan semakin menurun di kawasan parlimen itu.

Kadar keciciran yang direkod pada 2016 adalah 13.68 peratus manakala pada 2021 adalah 0.52 peratus.

Tiada keciciran murid di peringkat sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan di kawasan Parlimen itu pada 2016 hingga 2019 serta 2021 namun kadar keciciran sebanyak 0.48 peratus direkodkan pada 2020.

“Berdasarkan tinjauan yang dilaksanakan KPM, antara punca keciciran murid adalah kerana kurang minat untuk belajar, kemiskinan, masalah disiplin, perceraian ibu bapa, kurang kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak, gejala sosial dan bekerja untuk membantu keluarga,” menurut jawapan itu.

Bagi menangani masalah keciciran murid, KPM antara lain menyediakan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC) bertujuan membantu pihak sekolah mengenal pasti murid berisiko cicir selain mengurus murid berisiko cicir secara berkesan dan sistematik. - Bernama

Artikel Berkaitan: