X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Kerajaan akan kaji semula undang-undang kebankrapan: Wan Junaidi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Menteri Undang-Undang ASEAN ke-11 di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji semula undang-undang berkaitan kebankrapan agar ia tidak menimbulkan satu stigma dan menghalang individu yang diisytiharkan muflis daripada bekerja serta menjalankan perniagaan bagi melunaskan hutang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau sedang berbincang dengan pegawainya serta Ketua Pengarah Insolvensi supaya mewujudkan undang-undang yang lebih baik dan mesra kepada masyarakat.

"Apabila seseorang itu diisytiharkan bankrap, dia tidak lagi berkemampuan untuk membayar hutang. Jadi apakah keuntungan diperoleh kepada pihak yang memberi pinjaman.

"Jika kita membolehkan mereka berniaga dan bekerja, tidak wujud stigma kebankrapan kepadanya. Janganlah pihak syarikat dan kerajaan melihat orang yang bankrap ini tidak boleh bekerja dan tidak boleh hidup," katanya ketika ditanya pemberita mengenai individu yang terpaksa gulung tikar dan diisytiharkan muflis dalam tempoh pandemik Covid-19.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Menteri Undang-Undang ASEAN ke-11 di sini pada Rabu yang berlangsung secara maya dan turut disertai wakil dari Brunei, Kemboja, Singapura, Vietnam, Laos, Filipina, Indonesia, Thailand serta Myanmar.

Pada 22 September 2020, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2020 bagi meminda nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan.

Pindaan itu membolehkan nilai ambang dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000 sekali gus menjadikan ia lebih responsif dan komprehensif terhadap keperluan serta isu semasa berkaitan insolvensi.

Mengulas mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 Oktober lepas, Wan Junaidi berkata, antara agenda dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah langkah untuk memperkasa sistem perundangan bagi setiap negara ASEAN walaupun ia berbeza.

"Mesyuarat itu turut memfokus kepada perbincangan dan pembentangan pembangunan berterusan berkaitan undang-undang di setiap negara anggota bagi mengawal serta menguruskan situasi Covid-19.

"Negara Anggota ASEAN semasa mesyuarat terutama mengenai pelaksanaan pelbagai aktiviti dan inisiatif kerjasama yang menyumbang kepada pengukuhan undang-undang serta kerjasama perundangan di ASEAN selain menyokong usaha berterusan ke arah menyelaraskan peraturan dan undang-undang perdagangan yang berpaksikan ASEAN, memperkukuh keupayaan ASEAN dalam pencegahan jenayah, keadilan jenayah serta kedaulatan undang-undang,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!