Penganjur perhimpunan parti Muda dikompaun RM4,000

Penganjur perhimpunan sidang akhbar Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Bangunan Merah, Banda Hilir, di sini, dikenakan kompaun RM4,000.
Penganjur perhimpunan sidang akhbar Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Bangunan Merah, Banda Hilir, di sini, dikenakan kompaun RM4,000.
A
A
A

MELAKA - Penganjur perhimpunan sidang akhbar Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Bangunan Merah, Banda Hilir, di sini, dikenakan kompaun RM4,000 pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kompaun itu dikeluarkan kepada seorang individu berusia 20 tahun yang bekerja sebagai ejan insurans selepas dia meneruskan program sidang akhbar yang dihadiri Presiden penaja parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, pasukan polis yang menjalankan tugas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan Melaka Tengah tiba sampai di lokasi pelancongan Bangunan Merah itu dan mendapati beberapa individu memakai baju tertera perkataan Muda.

"Anggota polis kemudiannya bertemu dengan individu itu yang mengaku sebagai penganjur perhimpunan sidang akhbar parti Muda.

"Bagaimanapun lelaki terbabit tidak memberi kerjasama dan meneruskan sidang akhbar tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, sebelum sidang akhbar berlangsung, polis telah menasihati penganjur supaya memberhentikan program itu kerana didakwa melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat yang melarang sebarang program berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk aktiviti yang boleh menyebabkan orang ramai hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal bermula 25 Oktober hingga 27 November depan.

Ujar beliau, individu itu kemudiannya dipanggil hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah dan dimaklumkan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 10 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) PPN 2021 yang dikeluarkan bermula Isnin lalu.

"Sidang akhbar itu menyentuh berkaitan PRN Melaka dan menyebabkan 30 hingga 40 individu berkumpul.

Artikel Berkaitan:

"Polis kemudian mengenakan kompaun RM4,000 kepada lelaki itu," katanya.

Sinar Harian pada Ahad lalu melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan larangan aktiviti, perhimpunan, majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan bermula 25 Oktober sehingga 27 November depan.