Kemala sumbang karya membangun akal budi bangsa

Ahmad, 80, yang juga Sasterawan Negara ke-11 dilaporkan meninggal dunia ketika tidur di kediamannya pada tengah hari Rabu.(Gambar Kecil : Awang)
Ahmad, 80, yang juga Sasterawan Negara ke-11 dilaporkan meninggal dunia ketika tidur di kediamannya pada tengah hari Rabu.(Gambar Kecil : Awang)
A
A
A

SHAH ALAM - “Negara kehilangan seorang sasterawan yang telah menyumbangkan karya sastera untuk pembangunan akal budi bangsa dan pembangunan negara dalam aspek persuratan.”

Demikian kata Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan mengenai pemergian Sasterawan Negara, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah yang meninggal dunia pada Rabu.

Awang berkata, Ahmad yang juga dikenali dengan nama Kemala telah memberikan sumbangan besar terhadap aspek persuratan negara.

“Dewan Bahasa dan Pustaka secara khusus berhutang budi kepada Allahyarham yang selama puluhan tahun mencurahkan bakti di DBP sebagai tenaga kerja yang gigih dan turut mengangkat imej DBP sebagai badan bahasa, persuratan dan penerbitan.

“Semoga kecemerlangan Allahyarham dijadikan suri teladan oleh penulis muda dan bakal penulis untuk melahirkan karya yang bererti kepada pembangunan negara, khasnya pembangunan pemikiran dan kerohanian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad, 80, yang juga Sasterawan Negara ke-11 dilaporkan meninggal dunia ketika tidur di kediamannya pada tengah hari Rabu.

Sebahagian besar sumbangan Ahmad dalam persuratan negara terdiri daripada penulisan esei dan buku ilmiah.

Bagaimanapun, beliau turut memberikan sumbangan bagi karya sastera untuk genre puisi, cerpen, drama dan cerita kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Bakat beliau mula berkembang selepas bekerja di DBP sejak 1968 sebagai penolong penyunting dan kemudiannya menjadi editor majalah-majalah sastera, sebelum akhirnya bersara pada tahun 1996 sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.