Bajet 2022: MOM harap peruntukan dana sukan elit Paris 2024

Mohamad Norza Zakaria
Mohamad Norza Zakaria
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap kerajaan akan memperuntukkan dana kepada sukan-sukan elit menjelang Sukan Olimpik di Paris, Perancis tiga tahun lagi, menerusi Bajet 2022.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, selain peruntukan bagi sukan elit seperti badminton, terjun dan berbasikal, pihaknya turut memohon dana bagi pembangunan sukan baharu dalam Paris 2024 itu.

“Mendapatkan peruntukan untuk sukan-sukan elit sehingga Paris 2024, serta penerokaan sukan-sukan baharu seperti sukan breakdance, memanjat dan meluncur,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi mengenai harapan MOM terhadap Bajet 2022, yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat ini.

Selain Paris 2024, Mohamad Norza berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberi insentif kepada persatuan-persatuan sukan kebangsaan untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa.

Beliau percaya langkah itu akan membantu merangsang ekonomi negara selain turut menarik bintang-bintang antarabangsa ke Malaysia yang boleh menjadi model peranan kepada generasi muda.

Mohamad Norza juga menggesa kerajaan mengutamakan pelaburan pada peringkat akar umbi, kerana telah hampir dua tahun aktiviti sukan tidak dijalankan, terutamanya di peringkat sekolah berikutan pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau turut berharap agar kerajaan memperkenalkan pengecualian cukai dengan memberi insentif kepada sektor swasta yang menyumbang kepada bidang sukan.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memohon kerajaan dana sebanyak RM5 juta, bagi memastikan kelangsungan atlet-atlet ‘luar biasa’ tanah air di bawah badan itu.

Artikel Berkaitan:

Megat berkata, dana tersebut boleh digunakan untuk memperkasa program akar umbi termasuk mencari bakat baharu yang boleh menjadi pelapis kepada atlet sedia ada, selain pembangunan data sukan bagi golongan berkenaan.

Katanya, peruntukan itu juga akan membantu MPM untuk menghasilkan program yang dapat memberi nilai tambah kepada atlet paralimpik, dengan memperkenalkan mereka kepada dunia keusahawanan menerusi program kemahiran seperti seni dan kulinari.

Selain itu, Mohamad Norza, yang juga presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mahukan peruntukan khas untuk Projek 2024, bagi menyokong usaha persatuan itu membawa pulang pingat emas Olimpik pertama negara.

Katanya, lagi lebih banyak peruntukan perlu disalurkan untuk program pembangunan pemain junior serta penyelidikan dan pembangunan sains sukan.

Sementara itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap bajet kali ini dapat menyediakan dana untuk menganjurkan kejohanan sukan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab memaklumkan bagi sukan berbasikal, mereka sememangnya memerlukan dana untuk menganjurkan Jelajah Malaysia pada Mac dan Kejuaraan Asia BMX di Nilai, Ogos depan, setelah sekian lama tidak menganjurkan kejohanan kompetitif susulan Covid-19.

Bagi Presiden Persatuan Meluncur Ais Malaysia (ISAM), Mohd Fadzli Johan pula, pihaknya merayu kerajaan agar tidak meminggirkan pembangunan sukan musim sejuk di Malaysia.

Menurutnya, ISAM memerlukan dana yang mencukupi, khususnya dalam merangka program akar umbi dan memperhebat pencarian bakat, bagi menghadapi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 di Milan, Itali. - Bernama