Bajet 2022 terus perkasa sistem kesihatan negara: PM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bajet 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jumaat ini akan meneruskan usaha memperkasa sistem kesihatan termasuk memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya negara bersedia sekiranya terdapat gelombang baharu pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, Bajet 2022 juga akan memberi tumpuan utama untuk melindungi, memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat dan perniagaan selain membina semula daya ketahanan negara dan memangkinkan pembaharuan pascapandemik yang lebih mampan.

Beliau berkata, R&D termasuk dalam penghasilan vaksin Covid-19 yang bukan sahaja untuk kegunaan rakyat, malah berpotensi dieksport ke negara yang memerlukan.

"Sekarang kita harapkan vaksin dari negara lain, ada satu ketika vaksin (yang ditempah) lewat sampai sehingga memberi kesan kepada kita (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan).

"Sebab itu, R&D perlu diperkasa untuk menghasilkan bukan sahaja vaksin Covid-19 tetapi banyak lagi vaksin lain selain ubat-ubatan baharu," katanya dalam Wawancara Bajet 2022 bersama Perdana Menteri di sini pada Rabu.

Menurut perdana menteri, walaupun sudah lebih 70 peratus keseluruhan populasi negara lengkap divaksin, namun ia bukan alasan untuk terlalu selesa dengan keadaan tersebut sebaliknya masih perlu berhati-hati dan meneruskan disiplin mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), antara keutamaan kerajaan dalam jangka masa sederhana hingga jangka masa panjang adalah mengenai penyusunan semula sistem kesihatan negara.

Pelan Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia, katanya, akan diperkenalkan sebagai hala tuju baharu untuk mentransformasi sistem penjagaan kesihatan negara.

Artikel Berkaitan:

Menjelas lanjut mengenai Bajet 2022 kepada sektor kesihatan, perdana menteri berkata, beliau telah meminta Kementerian Kewangan supaya memberi penekanan bukan sahaja terhadap pembinaan hospital baharu, tetapi juga Klinik Desa.

Katanya, pembinaan Klinik Desa terutama di Sabah dan Sarawak amat penting disebabkan kedudukan hospital yang jauh serta laluan sukar untuk mendapatkan perkhidmatan di premis kesihatan tersebut. - Bernama