Bajet 2022 ada faktor ‘Wow’ beri manfaat kepada semua: PM

Ismail Sabri ketika ditemubual berkaitan Bajet 2022, hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika ditemubual berkaitan Bajet 2022, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bajet 2022 mempunyai faktor ‘Wow’ kerana ia dirangka untuk memberi manfaat semua pihak sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang menjamin tiada seorang pun tercicir daripada agenda pemulihan negara setelah mengalami kesukaran hidup akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bajet 2022 adalah ‘dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’ dan berimpak tinggi merangkumi bantuan kepada golongan B40 dan M40 serta sokongan perniagaan bagi memastikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mendapat akses kepada pembiayaan bagi menggerakkan semua perniagaan.

“Selain bantuan berterusan kepada golongan rentan dan bukan rentan, Bajet 2022 juga adalah mesra Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya dalam Sesi Wawancara Bajet 2022 bersama Perdana Menteri dengan media tempatan di sini pada Rabu.

Bajet 2022 akan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada persidangan Dewan Rakyat Jumaat ini.

Ismail Sabri berkata, belanjawan itu juga akan menjana lebih banyak pekerjaan bagi menangani pengangguran dan memacu pemulihan bagi mengembalikan negara kepada kedudukan ekonomi sebelum Covid-19 dengan norma baharu.

Beliau berkata, Bajet 2022 dirangka secara berhati-hati dan komprehensif mengambil kira pandangan semua pihak termasuk parti pembangkang bagi memenuhi aspirasi mereka selaras dengan iltizam kebersamaan Keluarga Malaysia.

Katanya, Portal Belanjawan 2022 Kementerian Kewangan telah menerima lebih 50,000 cadangan daripada orang ramai yang diambil pertimbangan dan dijadikan input dalam Bajet 2022.

Perdana menteri berkata, Bajet 2022 juga mengambil kira input daripada sektor perniagaan dengan menyediakan insentif cukai bagi membantu syarikat-syarikat yang terkesan akibat pandemik dapat membangunkan semula perniagaan dan seterusnya member manfaat kepada pekerja.

Artikel Berkaitan:

“Bajet ini juga akan menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian dan kehidupan rakyat dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, ia juga memangkinkan pembaharuan pascapandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan,” katanya.

"Dalam bajet kali ini, kita masih beri bantuan secara langsung kepada rakyat, begitu juga kepada peniaga-peniaga mikro yang terpaksa tutup perniagaan dan tiada modal nak buka semula, kita akan beri fokus bagaimana nak bantu mereka," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang berjumlah RM530 bilion dan jika bantuan dihentikan terlalu awal, ini mungkin mengganggu momentum pemulihan ekonomi.

Beliau berkata, jika bantuan dihentikan terlalu awal, ini mungkin mengganggu momentum pemulihan ekonomi yang telah dapat dilihat baru-baru ini.

Belanjawan 2021 bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama” telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tahun lepas dengan perbelanjaan bernilai RM322.5 bilion, terbesar dalam sejarah negara.

Ia dirangka berdasarkan Tiga Matlamat Induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Ekonomi dan Ketahanan Ekonomi. - Bernama