X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Muktamar Pas: Medium untuk tegur pemimpin

Sheikh Mohammad Rodi
A
A

ALOR SETAR - Muktamar Pas seharusnya menjadi medium untuk menegur kepimpinan dan kerajaan agar tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, Sheikh Mohammad Rodi Abdul Rahman berkata, peranan ulama sebagai penegur dan penasihat kepada kerajaan perlu diteruskan namun dengan pendekatan berbeza terutama apabila Pas sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Menurutnya, ulama dan pemerintah perlu lebih kerap bertemu dan berbincang dalam mendapatkan solusi kepada permasalahan negara.

“Muktamar juga perlu menjadi medan untuk muhasabah. Segala kekuatan dan kelemahan dibincangkan bagi memastikan gerak kerja selama setahun dapat dinilai dan dibuat penambahbaikan agar Dewan Ulama sentiasa relevan dan kehadapan,” katanya selepas mengekalkan jawatan disandang pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Kedah ke-67 pada Rabu.

Sheikh Mohammad Rodi berharap teguran daripada ulama diterima sebaik mungkin oleh semua peringkat kepimpinan selain berlapang dada menerima pandangan.

“Politik itu ‘bersih’ dan Dewan Ulama perlu menampakkan kebersihannya dengan terlibat sama dalam pemerintahan.

“Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Timbalan dan Naib Presiden Pas telah membuktikan bahawa ulama mampu menggalas tugas kepimpinan negara,” katanya.

Menurut beliau, ketokohan kepimpinan ulama perlu ditonjolkan selain menyifatkan ulama tetap relevan seiring dengan peredaran zaman.

Pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Kedah ke-67, Sheikh Mohammad Rodi mengekalkan jawatan disandang bagi sesi 2021-2023 manakala Hanif Ghazali sebagai Timbalan Ketua dan Mohd Nizam Mohd Nuh sebagai Naib Ketua.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!