ASEAN mahu penyelesaian segera COC Laut China Selatan

Laut China Selatan
Laut China Selatan
A
A
A

KUALA LUMPUR - ASEAN beranggapan bahawa usaha perlu dilakukan bagi mempercepatkan penyelesaian Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan yang berkesan dan substantif, sejajar dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Menurut Kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 pada Selasa, blok serantau itu menekankan keperluan mengekal dan mewujudkan persekitaran kondusif terhadap rundingan COC dan dengan itu, mengalu-alukan langkah praktikal yang dapat mengurangkan ketegangan dan risiko kemalangan, salah faham dan salah perhitungan.

“Kami menekankan kepentingan untuk mengambil langkah membina keyakinan, kepercayaan dan pencegahan, antara lainnya dan kami sekali lagi menegaskan kepentingan menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982,” menurut kenyataan itu.

Sidang Kemuncak itu serta sidang yang berkaitan dengannya, diadakan selama tiga hari bermula Selasa dan dipengerusikan oleh Brunei.

Pemimpin ASEAN pada sidang itu menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan menambak laut serta beberapa insiden serius di kawasan itu, termasuk kerosakan alam sekitar marin, yang menghakis kepercayaan dan keyakinan, meningkatkan ketegangan serta mungkin menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan rantau ini.

Blok serantau Asia Tenggara yang disertai 10 negara itu turut mengulangi pendirian supaya meningkatkan rasa saling percaya dan keyakinan, mengelak tindakan yang boleh mencetuskan pertembungan yang boleh merumit atau meningkatkan perbalahan serta menjejaskan keamanan, kestabilan selain mengelak sebarang tindakan yang boleh menyulitkan keadaan.

ASEAN turut menekankan kepentingan aspek bukan ketenteraan dan membendung tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan sama ada pihak yang membuat tuntutan atau negara lain, termasuk mereka yang disenaraikan dalam Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) kerana sebarang tindakan mungkin merumitkan lagi keadaan dan meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan.

Perdana Menteri China, Li Keqiang ketika berucap pada Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-24 pada Selasa berkata, China dan negara anggota ASEAN perlu mempercepatkan rundingan COC dan berusaha mencari konklusi awal.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Palestin, ASEAN menyokong penuh hak sah rakyat Palestin untuk sebuah Negara Palestin yang merdeka berdasarkan penyelesaian dua negara.

"Kami menggesa kedua-dua pihak (Israel dan Palestin) mengambil langkah proaktif bagi membolehkan rundingan disambung semula untuk mencapai keamanan yang berkekalan," menurut kenyataan itu.

ASEAN turut membincangkan perkembangan di Semenanjung Korea, menggesa semua pihak berkaitan menyambung semula dialog ke arah merealisasikan keamanan dan kestabilan yang berkekalan serta mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear.

"Kami mengulangi kesediaan kami untuk memainkan peranan konstruktif termasuk melalui penggunaan platform diterajui ASEAN seperti Forum Serantau ASEAN (ARF) dalam mempromosikan suasana kondusif untuk dialog yang aman dalam kalangan pihak berkaitan,” jelas kenyataan itu.

Mengenai ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP), kumpulan itu bersetuju bahawa mekanisme yang diterajui ASEAN, termasuk ASEAN Campur Satu, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) dan ARF boleh berfungsi sebagai platform penting untuk dialog serta kerjasama bagi melaksanakan AOIP.

Para pemimpin juga mengulangi komitmen untuk memelihara rantau Asia Tenggara sebagai Zon Bebas Senjata Nuklear dan bebas daripada semua senjata pemusnah besar-besaran lain seperti termaktub dalam Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Piagam ASEAN.

Pemimpin ASEAN juga sependapat bahawa adalah penting bagi blok serantau ini untuk meningkatkan persediaan untuk menangani potensi risiko kebakaran dan jerebu rentas sempadan.

“Sehubungan itu, kami mengulangi komitmen dan usaha bersepadu ke arah kewaspadaan, kesiapsiagaan dan mobilisasi awal tindak balas kecemasan untuk mengurangkan kebakaran semasa musim kemarau melalui mekanisme koperasi serantau yang ditubuhkan di bawah kerangka kerja Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) di samping memerangi pandemik,” menurut kenyataan itu.

Pemimpin ASEAN juga mengambil maklum mengenai pemaktuban Establishment Agreement and Host Country Agreement of the ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control (ACC THPC) di Indonesia dan perlunya usaha untuk memuktamadkan segera rundingan mengenainya. - Bernama