X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

TDM bayar perkongsian keuntungan lebih RM1.8j kepada LTAWNT

Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation, Mohd Ghozali Yahaya; Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A. Rahman @ Yusof ketika penyerahan pembahagian keuntungan di Wisma Darul Iman, pada Rabu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad membuat pembayaran perkongsian keuntungan sebanyak RM1,867,934 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).

Cek pembahagian keuntungan itu diserahkan Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman @ Yusof sambil disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, pada Rabu.

Menurut Najman, Kumpulan TDM mencatatkan pertumbuhan kewangan memberangsangkan hasil prestasi cemerlang daripada bahagian perladangan.

"Pencapaian ini turut disumbangkan hasil pelaksanaan pelan perniagaan strategik syarikat yang dijalankan secara berdisiplin serta sokongan berterusan oleh kakitangan syarikat di samping amalan pengurusan risiko yang berhemat sejak penularan Covid-19," katanya.

Menurut beliau, perladangan TDM mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM24.8 juta iaitu pemulihan luar biasa berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM24.5 juta pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, bahagian ini juga mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih besar iaitu sebanyak RM89.8 juta, berbanding RM42.4 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, angka tersebut disokong oleh harga purata minyak sawit mentah (CPO) (33 peratus) dan isirong sawit (PK) (29 peratus) yang lebih tinggi pada 2020 berbanding 2019.

"Hasil prestasi cemerlang ini telah menjana perkongsian keuntungan usaha sama sebanyak RM1,867,934 juta iaitu jumlah yang lebih besar berbanding pembayaran kepada LTAWNT tahun lalu iaitu sebanyak RM1,048,928 juta.

"Bayaran keuntungan itu juga merupakan bukti komitmen TDM dalam memberikan pulangan yang mampan kepada pemilik tanah yang telah memberi amanah kepada kami untuk menguruskan," jelasnya.

LTAWNT memiliki 1,336 hektar ladang kelapa sawit terletak di Ladang Air Putih yang kini diuruskan bahagian perladangan TDM Berhad, TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) menerusi usaha sama sejak 1996.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!