Kedah tuntut RM100 juta royalti pajakan Pulau Pinang

Muhamad Sanusi
Muhamad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah menuntut bayaran royalti sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi pajakan negeri Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi Md Nor berkata, tuntutan itu adalah salah satu permohonan kerajaan negeri dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Katanya, selama ini Kedah hanya menerima bayaran pemberian khas sebanyak RM10 juta setahun bermula 2018 dan royalti sebanyak RM10,000 setahun sejak pajakan itu bermula pada 1786.

"Selama 235 tahun tiada satu pun kajian dilakukan untuk mengkaji dan menilai semula bayaran royalti mengikut nilai semasa bagi pajakan tersebut.

"Tak munasabah sama sekali nilai 1786 itu dibawa ke tahun 2021/2022, jadi atas asas nilaian semasa yang tidak begitu sempit kita mohon dipertimbangkan RM100 juta," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darulaman di sini pada Rabu.

Menurutnya, bayaran RM100 juta itu tidak besar nilainya jika dibandingkan dengan hasil yang diperoleh Pulau Pinang.

"Kedah cuma mohon RM100 juta, kalau kita mohon Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Harta membuat penilaian terperinci saya fikir nilainya lebih tinggi kemungkinan mencecah antara RM400 hingga RM500 juta.

"Jangan ada pihak yang melenting pula dengan permintaan ini, ia dibuat berdasarkan sejarah dan realiti sebenar. Jangan samakan macam Iraq takluk Kuwait pula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr Ibrahim Bakar menyokong kenyataan Muhammad Sanusi bahawa Pulau Pinang adalah hak milik Kedah yang sah sehingga kini.

PSMCK turut mendesak supaya kerajaan Kedah mengadakan satu perbincangan yang serius dengan kerajaan Pusat bagi mewujudkan satu persefahaman dengan mengambil kira kadar bayaran tahunan baharu yang merangkumi tempoh masa yang dicapai.