PM hadiri Sidang Kemuncak ke-13 IMT-GT secara maya esok

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadiri Sidang Kemuncak Ke-13 Gagasan Kerjasama Segitiga Pertumbuhan Indonesia Malaysia Thailand (IMT-GT) yang diadakan secara maya pada Khamis.

Turut akan hadir pada sidang tersebut ialah Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo dan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha.

Perdana Menteri Malaysia adalah Pengerusi Semasa IMT-GT.

Pengerusi Majlis Bersama Perniagaan Malaysia (MBPM) IMT-GT, Tan Sri Rozali Ismail berkata, sidang kemuncak ini adalah satu mercu tanda bagi memperkukuhkan permuafakatan dan rangka kerjasama sosioekonomi tiga negara serantau yang diasaskan sejak 28 tahun yang lalu selari dengan semangat permuafakatan ASEAN.

"MBPM bersama-sama komuniti perniagaan umumnya mengharapkan sidang kali ini dapat mengambil ketetapan dalam menggerakkan dasar-dasar serta program yang pantas bagi memulihkan ekonomi, meneroka bidang keutamaan berimpak tinggi serta meningkatkan keyakinan komuniti perniagaan untuk membuat pelaburan semula dalam sektor ekonomi yang terjejas teruk," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, MBPM optimis pemimpin IMT-GT akan bersepakat untuk meningkatkan inisiatif vaksinasi di negara masing-masing dan bersedia melaksanakan langkah seterusnya bagi membuka ekonomi, sempadan dan perjalanan rentas negara dalam tempoh terdekat.

"Majlis berharap pemimpin sidang kemuncak ini akan memberi komitmen untuk melaksanakan beberapa dasar fiskal dan pentadbiran dengan memberikan insentif kepada sektor perniagaan untuk terus dibuka berasaskan norma baharu yang mesra perniagaan.

"Sokongan kerajaan negara anggota sangat diharapkan dalam memperkasakan inisiatif pendigitalan perniagaan dan urus niaga rentas sempadan, pengurangan birokrasi, peningkatan kecekapan pengurusan pergerakan dagangan dan manusia di sempadan, serta pengukuhan jaminan keselamatan kesihatan di negara anggota," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Rozali berkata, MBPM bersama rakan anggota dari Indonesia dan Thailand telah menyatakan kesepakatan dalam menyokong usaha kerajaan negara anggota untuk memulihkan ekonomi negara masing-masing.

"Matlamat akhir daripada inisiatif tersebut adalah pemulihan sektor ekonomi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) yang merupakan 90 peratus daripada komuniti perniagaan keseluruhannya," katanya. - Bernama