X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Cuai jaga anak lelaki, ibu tunggal didenda RM9,000

Gara-gara cuai menjaga anak lelakinya sehingga mengalami kesan melecur pada bahagian lengan dan bawah ketiak kanak-kanak itu, seorang ibu tunggal didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen, pada Rabu. - Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara cuai menjaga anak lelakinya sehingga mengalami kesan melecur pada bahagian lengan dan bawah ketiak kanak-kanak itu, seorang ibu tunggal didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga barangan kosmetik dalam talian selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan wanita berumur 26 tahun itu menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya dia gagal membayar denda selain diperintahkan bon berkelakuan baik selama tiga tahun tanpa cagaran mengikut Seksyen 31(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tertuduh didakwa sebagai ibu kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan telah cuai sehingga mendatangkan kecederaan pada bahagian lengan kanan dan kiri serta di bawah ketiak sebelah kanan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Setapak di sini pada Disember 2020 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh supaya dapat memberi mesej kepada masyarakat kerana ini merupakan kesalahan serius.

“Dalam kes ini, mangsa mengalami kecederaan melecur bukan disebabkan kemalangan tetapi ia disengajakan oleh kecuaian tertuduh. Berdasarkan fakta kes yang diakui tertuduh, semasa diambil oleh pengadu (bapa kandung mangsa) kanak-kanak lelaki itu berada dalam keadaan trauma dan takut,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda ringan dengan alasan anak guamnya telah insaf serta perlu menjaga keluarganya.

“Anak guam saya merupakan seorang ibu tunggal yang tidak mempunyai pendapatan tetap berikutan kesan pandemik Covid-19. Selain itu, anak guam saya perlu menanggung ibu bapanya yang sudah tua,” katanya.

Mengikut fakta kes, pengadu adalah bapa kandung kanak-kanak tersebut, yang telah menghantar mangsa ke rumah bekas isterinya itu.

Semasa pengadu mengambil anaknya, dia mendapati ada kesan melecur di lengan kiri dan kanan serta bawah ketiak kanak-kanak itu, malah mangsa juga berada dalam ketakutan. Pengadu kemudian bertanya kepada tertuduh namun wanita terbabit memaklumkan dia tidak tahu.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan melecur di bawah ketiak dan luka di bahagian belakang kedua-dua tangan mangsa serta kesan lecetan pada bahagian belakang badan kanak-kanak itu.

Pengadu dan tertuduh yang sudah berpisah, masing-masing menjaga anak mereka itu secara bergilir. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!