Pengayuh beca tidak mengaku salah lakukan amang seksual anak kembar

Warga emas berusia 65 tahun tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka di sini, pada Rabu kerana melakukan amang seksual.
Warga emas berusia 65 tahun tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka di sini, pada Rabu kerana melakukan amang seksual.
A
A
A

MELAKA - Seorang pengayuh beca didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan menunjukkan video seks terhadap dua anak perempuan kembarnya.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 65 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal kepada salah seorang anak kembarnya berusia 16 tahun lima bulan di sebuah rumah di Pulau Gadong, lebih kurang jam 10 pagi pada 6 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal kepada seorang lagi anak kembarnya berusia 16 tahun lima bulan pada keesokan harinya kira-kira jam 8 malam di tempat yang sama.

Bagi kedua-kedua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Warga emas itu juga didakwa telah melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan video lucah di dalam telefon bimbit terhadap kedua-dua mangsa sama pada pertengahan bulan April dan Mei di kediaman sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Di Mahkamah Majistret tertuduh turut didakwa atas pertuduhan memiliki sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A11 yang mengandungi rakaman video lucah dan didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Sabit kesalahan, warga emas berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad, manakala tertuduh diwakili Peguam Andrew Lourdes.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM14,000 oleh mahkamah bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 29 November depan bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen manakala 30 November di Mahkamah Majistret.