Dos penggalak: NS mohon pertimbangan untuk exco, ADUN

Aminuddin - Foto fail Bernama
Aminuddin - Foto fail Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri meminta pertimbangan supaya dos penggalak vaksin Covid-19 diberikan kepada barisan Exco kerajaan negeri dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, permintaan tersebut perlu memandangkan wakil rakyat merupakan individu yang sering berdepan dan berurusan dengan rakyat setiap masa.

"Hasil mesyuarat exco pada Rabu, kita turut mencadangkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri supaya memberi dos penggalak kepada barisan exco dan semua ADUN di negeri ini.

"Sebahagian besar ahli Parlimen sudah pun menerima dos penggalak, justeru di peringkat negeri kita bercadang supaya mereka ini turut menerima dos berkenaan demi menjamin keselamatan bersama.

"Ini kerana tugas wakil rakyat sentiasa bertemu dengan masyarakat, sekali gus ia menjamin keselamatan dan beri perlindungan yang lebih baik kepada kita semua," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Sehingga ini, kata beliau seramai 3,442 individu yang terdiri daripada petugas barisan hadapan telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 sejak 22 Oktober lepas.

Katanya, selain barisan hadapan, individu warga emas yang berusia 60 tahun ke atas juga akan diberi dos penggalak ini.

Sementara itu, mengulas mengenai antivaksin, Aminuddin memberitahu, hanya sebilangan kecil sahaja rakyat di negeri ini yang enggan divaksin.

Artikel Berkaitan:

Katanya, biarpun tiada angka yang tepat, tetapi daripada bilangan rakyat dewasa yang divaksin sudah melebihi 100 peratus.

"Saya berharap individu yang enggan menerima vaksin dapat mempertimbangkan semula, bagi memudahkan urusan mereka tanpa menghadapi sebarang kesulitan pada kemudian hari," katanya.