X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Lebih 40 peratus pekerja restoran mamak pulang ke negara asal

Harrisrajudin ketika ditemui di di Majlis Perasmian Bangunan Gemilang Occuhealth di Seksyen 15, di sini pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Pengusaha restoran mamak berdepan kekurangan tenaga kerja warga asing untuk menggerakkan perniagaan apabila lebih 40 peratus daripada mereka pulang ke negara asal sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Timbalan Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Harrisrajudin Alaudin berkata, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengadakan sesi temuduga terbuka minggu lalu bagi mengisi kekosongan pekerja restoran.

Bagaimanapun katanya, maklum balas yang diterima oleh pihak terbabit amat mengecewakan berikutan tiada warga tempatan yang berminat untuk bekerja dalam sektor tersebut walaupun ditawarkan gaji lumayan.

"Ini bukan perkara baharu kerana sudah lama pihak persatuan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja untuk menyelesaikan isu ini tetapi warga tempatan masih tidak berminat untuk bekerja dalam sektor itu," katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Bangunan Gemilang Occuhealth di Seksyen 15, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Harrisrajudin berharap pihak kerajaan mempertimbangkan kebenaran membawa masuk pekerja warga asing ke Malaysia untuk menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan.

Ujarnya, pengusaha restoran tidak mempunyai pilihan selain bergantung kepada tenaga kerja warga asing bagi memulihkan ekonomi sektor itu.

"Pada masa kini, kita melihat keperluan tenaga kerja di sektor itu semakin mendesak.

"Jika perkara ini berlarutan untuk beberapa bulan lagi, saya tidak pasti berapa ramai pengusaha restoran terpaksa gulung tikar.

"Jika kerajaan membenarkan kemasukan pekerja warga asing ini, saya rasa pengusaha restoran boleh menarik nafas lega kerana ramai sahabat yang menghentikan operasi ketika pandemik Covid-19," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!