11 barangan disenarai di bawah SHMMP sempena Deepavali

Alexander
Alexander
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 11 barangan disenaraikan sebagai harga terkawal bagi tempoh 1 hingga 7 November ini di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali yang disambut pada Khamis depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, 11 barangan tersebut ialah ayam hidup; ayam standard; ayam super; daging kambing biri-biri import bertulang; telur ayam gred A, B dan C; cili merah; tomato; kelapa biji dan kelapa parut.

"Jenis barangan yang ditentukan adalah barangan utama yang diperlukan semasa sambutan perayaan Deepavali. Kesemua barangan ini mendapat permintaan yang tinggi oleh masyarakat yang menyambutnya, oleh itu kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran," katanya.

Nanta semasa melancarkan SHMMP Deepavali 2021 secara maya pada Rabu berkata, tempoh pelaksanaan iaitu tujuh hari adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa dan mendatangkan suasana 'menang-menang' kepada pengguna dan peniaga.

“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.

Nanta berkata, SHMMP Deepavali 2021 wajar dilaksanakan walaupun negara masih berdepan dengan penularan wabak Covid-19 atas justifikasi permintaan orang ramai terhadap barangan tertentu masih tinggi untuk menyambut perayaan tersebut.

“Walaupun negara kita masih dilanda penularan wabak Covid-19, tiada jaminan bahawa peningkatan harga barangan tidak akan berlaku di pasaran walaupun bekalan barangan keperluan semasa adalah mencukupi," katanya.

Nanta berkata, pelaksanaan skim tersebut dibuat dengan beberapa penyesuaian tempoh masa dan barangan untuk memberi ruang kepada peniaga bagi memulihkan perniagaan setelah melalui Perintah Kawalan Pergerakan tanpa menjejaskan kepentingan pengguna ataupun peniaga.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pelaksanaan kawalan harga maksimum itu tertumpu untuk memastikan harga barangan terpilih di peringkat pasar-pasar basah dan penjaja kecil terkawal kerana menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan.

“Peringkat pasar raya besar harga kebiasaannya lebih terkawal kerana ‘economies of scale’ dan model perniagaan serta persaingan yang berbeza,” katanya.

Nanta berkata, harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ditentukan untuk barangan berkenaan bagi 91 daerah di Semenanjung Malaysia, 27 daerah di Sabah dan satu daerah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi Sarawak, katanya pelaksanaan skim hanya melibatkan empat daerah sahaja iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu yang merupakan kawasan dengan majoriti masyarakat India yang meraikan perayaan Deepavali, berbanding 32 daerah sebelum ini.

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat pemantauan memastikan bekalan barangan adalah mencukupi dan memastikan harga di pasaran adalah berpatutan.

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga akan berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan, katanya.

“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan,” katanya.

Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim itu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, katanya.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

“Bagi memastikan pematuhan skim, KPDNHEP akan mengambil tindakan kompaun serta-merta dengan lebih tegas berbanding sebelum ini, iaitu tiga kali ganda daripada kadar biasa.

“Tindakan ini adalah sebagai peringatan dan pengajaran kepada peniaga, memandangkan tempoh masa pelaksanaan telah dipendekkan dan jumlah barangan telah dikurangkan berbanding perayaan sebelum ini,” katanya. - Bernama