Seludup 199 PATI, tiga kru bot warga asing dipenjara dua tahun

Bot yang membawa 199 PATI warga Myanmar yang cuba diseludup masuk pada April tahun lalu melalui Pantai Teluk Nibong Sirat, Langkawi. FOTO MARITIM MALAYSIA
Bot yang membawa 199 PATI warga Myanmar yang cuba diseludup masuk pada April tahun lalu melalui Pantai Teluk Nibong Sirat, Langkawi. FOTO MARITIM MALAYSIA
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga kru bot warga asing yang menyeludup masuk 199 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar pada April 2020 melalui Pantai Teluk Nibong Sirat, Langkawi dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi, Alor Setar pada Rabu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mahazan Mat Taib menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Muhammed Ishaq, 50, Enamullah, 28 dan Zubair, 19, selepas mereka mengangguk faham dan mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Myanmar.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa atas kesalahan menyeludup masuk 199 PATI warga Myanmar menggunakan sebuah bot asing berwarna kelabu, tanpa nombor pendaftaran, di Pantai Teluk Nibong Sirat, Pulau Langkawi pada jam lebih kurang jam 9 pagi, 5 April tahun lalu.

Kesemua PATI merupakan etnik Rohingya terdiri daripada lelaki dan wanita serta kanak-kanak berusia antara 4 hingga 47 tahun.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdangangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Hazwan Helmi Mohd Zainol manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang jenayah maritim dan sentiasa memastikan setiap pesalah dihadapkan ke muka pengadilan.

Menurutnya, Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis juga mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim setempat untuk melaporkan sebarang jenayah mahupun kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662 750 atau MERS 999.

Artikel Berkaitan: