Selangor perkenal tiga skim baharu bantu usahawan pulih perniagaan

Amirudin (dua dari kiri) meninjau reruai sebelum pelancaran skim berkenaan, di Foyer Pejabat SUK Selangor pada Rabu.
Amirudin (dua dari kiri) meninjau reruai sebelum pelancaran skim berkenaan, di Foyer Pejabat SUK Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga skim baharu diwujudkan atas inisiatif kerajaan Selangor bagi membantu usahawan negeri ini memulihkan semula perniagaan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Skim yang diperkenalkan menerusi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) itu dikenali sebagai Skim i-Lestari, Skim i-Agro dan Skim i-Bermusim.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Skim i-Lestari diwujudkan dengan penawaran modal tambahan lebih tinggi kepada usahawan yang menjalankan perniagaan bermula dari RM51,000 sehingga RM100,000.

"Skim i-Agro pula ditawarkan kepada usahawan yang menjalankan aktiviti pertanian, penternakan dan akuakultur dengan modal tambahan bermula RM1,000 hingga RM50,000.

"Pengenalan Skim i-Agro ini bertujuan membantu usahawan pertanian dalam penyediaan hub bekalan makanan secukupnya untuk rakyat negeri ini," katanya selepas Majlis Pelancaran Pembiayaan Baharu Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) yang berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Hijrah Selangor, Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Skim i-Bermusim yang turut diperkenalkan membantu usahawan yang memerlukan modal pusingan perniagaan seperti bazar ramadan, bazar perayaan dan gerai buah-buahan bermusim.

"Permohonan skim ini boleh dibuat di 20 cawangan Hijrah Selangor berdekatan atau mengisi borang secara dalam talian di pautan www.hijrahselangor.com," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Amirudin berkata, sehingga kini Hijrah Selangor telah menyalurkan sebanyak 74,929 pembiayaan dengan nilai keseluruhan berjumlah lebih RM601 juta.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan peruntukan sebanyak RM80 juta untuk pelaksanaan ketiga-tiga skim baharu yang diperkenalkan itu bagi tempoh tahun ini dan 2022.

"Kerajaan Selangor berharap skim baharu yang diperkenalkan ini dapat membantu memulihkan perniagaan yang terjejas akibat Covid-19 dan mengembangkan lagi perusahaan mereka," katanya.