X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Sabah, Sarawak bakal terima 100 tapak 4G LTE baharu

Idham
A
A

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) bersama ZTE Corporation (ZTE), terus menerajui usaha penyediaan pengalaman 4G yang lancar di Sabah dan Sarawak sejajar dengan aspirasi digital negara melalui Jalinan Digital Negara (Jendela).

Sebagai persediaan bagi penamatan rangkaian 3G menjelang hujung tahun ini, Celcom akan melaksanakan optimisasi 100 tapak rangkaian di Sabah dan Sarawak dengan penggunaan teknologi L900 mulai November 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, Celcom menjalankan optimisasi rangkaian secara berterusan untuk mempertingkat liputan, kapasiti, dan keutuhan rangkaian melalui pelaburan yang dipacu dengan fokus di tempat-tempat yang amat memerlukan, khususnya di kawasan pedalaman di negara ini.

“Kami komited menyediakan pengalaman rangkaian yang berkualiti dan konsisten bagi pelanggan, lebih-lebih lagi ketika negara dan industri bersedia ke arah penamatan perkhidmatan 3G pada hujung tahun ini.

“Rakan teknologi yang berpengalaman dan dan berkemahiran seperti ZTE akan memacu usaha kami dengan lebih pantas, bagi memenuhi aspirasi kami dalam menyokong cita-cita kerajaan melalui Jendela serta menyediakan kesalinghubungan yang konsisten dan inklusif bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Idham berkata, pada April 2021, Celcom dan ZTE telah menggabungkan kepakaran teknologi dan kemahiran dalam melaksanakan inisiatif penaiktarafan 4G LTE bagi 70 tapak di Sabah dan Sarawak, melalui penggunaan lebar jalur L1800.

Wakil ZTE menyerahkan peranti kepada Celcom untuk menjayakan inisiatif #MyBaikHati untuk membantu golongan kurang berkemampuan menjalani pembelajaran di rumah.
Wakil ZTE menyerahkan peranti kepada Celcom untuk menjayakan inisiatif #MyBaikHati untuk membantu golongan kurang berkemampuan menjalani pembelajaran di rumah.

“Inisiatif penambahbaikan ini telah menyelesaikan isu peningkatan trafik data dengan segera dan mempertingkat kualiti liputan di kawasan terlibat. Aktiviti penambahbaikan rangkaian ini turut membantu mempertingkat kesalinghubungan bagi sekolah-sekolah di kawasan tersebut seperti Sekolah Kebangsaan Kukuro (22 kilometer (km) dari Beaufort), Sekolah Kebangsaan Rancangan Klias (16km dari Beaufort), Sekolah Kebangsaan Nanamun (24km dari pekan Kota Belud), dan Sekolah Kebangsaan Samparita (26km ke Kota Marudu).

“Celcom juga bekerjasama dengan ZTE bagi menambahbaik liputan di sekitar enam buah sekolah di kawasan pedalaman Sarawak menjelang suku keempat tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan ZTE di Malaysia, Steven Ge berkata, ZTE berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam modernisasi rangkaian 4G Malaysia melalui Celcom.

“Kami akan terus menyokong cita-cita Celcom dalam menghubungkan pelanggan melalui rangkaian berkualiti tinggi, walau di mana jua, melalui kerjasama pemantauan optimisasi rangkaian, prestasi rangkaian, dan pengalaman pelanggan selepas penamatan era 3G, bagi menyediakan pengalaman optimum kepada pelanggan.

“Kami juga berbesar hati kerana dapat melakukan perubahan melalui #MyBaikHati, sebagai salah satu usaha tanggungjawab social korporat kami,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!