MA63: Tiada masalah dengan RUU pinda perlembagaan

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (dua, kanan) menyaksikan Menteri Pelancongan Kesenian Kebudayaan Belia dan Sukan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga kiri) mewakili Kerajaan Negeri Sarawak menyerahkan replika cek dana penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem bernilai RM2.542 juta kepada Timbalan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Profesor Ir Dr BT Hang Tuah Baharuddin hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

KUCHING - Tiada masalah besar yang berbangkit susulan penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda beberapa peruntukan Perlembagaan Malaysia selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, beliau dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, penangguhan itu dibuat bagi membolehkan Peguam Negara (AG) menjelaskan lebih lanjut cadangan pindaan kepada anggota Kabinet.

“Tiada masalah, saya difahamkan oleh Wan Junaidi terdapat beberapa perkara (yang perlu penjelasan) seperti Perkara 160 mengenai definisi persekutuan. Mereka hanya mahukan penjelasan mengenai perkara tertentu, itu sahaja.

“Tiada masalah besar, ia hanya soal berkaitan pemahaman dan penjelasan oleh AG,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini, pada Rabu.

Pada 25 Oktober lalu, Wan Junaidi dilaporkan berkata, Kabinet akan menetapkan tarikh baharu untuk pembentangan rang undang-undang tersebut.

Menurut Wan Junaidi, penangguhan itu susulan tiada kata sepakat dicapai mengenai cadangan pindaan terhadap beberapa artikel berkaitan Perlembagaan Persekutuan semasa sesi perbincangan pada 24 Oktober lalu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Rang undang-undang berkenaan sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa (26 Oktober), diikuti bacaan kali kedua pada 28 Oktober.

Tarikh baharu bacaan kali pertama rang undang-undang itu akan ditetapkan selepas taklimat daripada Peguam Negara berhubung perkara berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat (29 Oktober) ini.- Bernama

Artikel Berkaitan: