6,148 kes baharu, meningkat dua hari berturut-turut

TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN

Noor Hisham Abdullah.
Noor Hisham Abdullah.
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMAS KINI] Kes baharu positif Covid-19 terus menunjukkan peningkatan dua hari berturut-turut selepas 6,148 kes dilapor pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, daripada jumlah itu, sebanyak 101 kes atau 1.6 peratus merupakan kategori tiga hingga lima manakala kategori satu dan dua pula sebanyak 6,047 kes atau 98.4 peratus.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes positif ialah 2,448,372 kes.

"Seramai 563 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi dan 292 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah harian kes sembuh yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula ialah 7,595 kes yang menjadikan jumlah keseluruhan 2,347,985 kes kumulatif iaitu bersamaan 95.9 peratus daripada keseluruhan kes," katanya.

Dr Noor Hisham memberitahu, KKM mengenalpasti sembilan kluster baharu membabitkan enam kluster tempat kerja.

"Kluster komuniti, kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan tinggi turut merekodkan pertambahan satu kluster," katanya.

Ujarnya, jumlah keseluruhan kluster yang dikesan ialah 5,744 dan 5,250 daripadanya diisytiharkan tamat manakala 494 lagi masih aktif.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan negara meningkat kepada 0.91 daripada 0.88 sebelum ini.

Bagi negeri pula, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan nilai 1.02.

Sementara Melaka (0.99), Putrajaya (0.96), Selangorku (0.95), Sabah (0.93), Kedah (0.90), Johor (0.88), Terengganu dan Putrajaya (0.87), Kelantan (0.86), Perak (0.85), Sarawak (0.84), Pahang (0.83), Perlis (0.81) serta Labuan (sifar).