X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Perjanjian GRS-pembangkang tidak bermakna tanpa Warisan

Awang Ahmad Sah Awang Sahari
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari bersetuju dengan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang menyatakan perjanjian antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan pembangkang tidak bermakna apa-apa tanpa penyertaan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Awang Ahmad Sah berkata, apa yang menghairankan adalah mengapa Pakatan Harapan (PH) merasakan perlu ada kerjasama bipartisan dengan GRS sedangkan perkara itu sudah dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan Persekutuan.

"Lagi pun antara ahli-ahli GRS adalah parti UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang terpaksa patuh kepada kemahuan pemimpin mereka di peringkat Persekutuan. Seperkara tiada negeri lain di Malaysia yang telah menandatangani MoU sedemikian dengan PH.

"Senario politik di Sabah tidak sama dengan Semenanjung. Masalah dan isu yang membelenggu rakyat Malaysia di Sabah berlainan dengan apa yang berlaku di Semenanjung," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Yong dalam kenyataan pada Isnin lepas (25 Oktober) mengulas mengenai cadangan kerjasama GRS dan PH berkata, Warisan perlu terlibat dalam kerjasama itu kerana hakikatnya di Sabah parti pembangkang utama ialah Warisan yang bukan sebahagian daripada PH.

Beliau berkata, pemimpin politik di Sabah harus bertindak dengan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat Sabah tanpa terlalu berpandukan kepada kemahuan ahli politik di Semenanjung.

Sabtu lepas, Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Mohd Noor yang juga Ketua Menteri berkata, gabungan itu akan mengadakan perbincangan berhubung cadangan PH Sabah untuk bersama menandatangani MoU, dan memaklumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membangkitkan perkara itu dalam pertemuan dengannya baru-baru ini.

GRS terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (Bersatu, STAR, SAPP, PAS dan Gerakan); Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC, PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!