Aktiviti perlombongan didakwa jejas pendapatan nelayan darat

Penduduk dan nelayan darat membantah aktiviti perlombongan di kawasan Air Kuning, Kampung Gajah.
Penduduk dan nelayan darat membantah aktiviti perlombongan di kawasan Air Kuning, Kampung Gajah.
A
A
A

PASIR SALAK - Aktiviti perlombongan yang dijalankan oleh empat buah syarikat di Air Kuning, Kampung Gajah di sini didakwa menjejaskan pendapatan lebih 80 nelayan darat di kawasan berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Perikanan Air Tawar (Peniat) Kampung Gajah, Sairul Nizam Mohamad Saleh berkata, aktiviti yang dijalankan di kawasan seluas lebih 566 hektar itu melibatkan kawasan tanaman sawit dan perairan umum iaitu lombong dan sungai.

Menurutnya, pemberian lesen menjelajah kepada syarikat terbabit yang telah memulakan aktiviti sejak dua bulan lalu telah menjejaskan sumber pendapatan penduduk termasuk orang asli.

"Kawasan berkenaan melibatkan MyKomuniti Perikanan (MyKP) Sungai Galah, Air Kuning dan Chenderong Kelubi.

"Nelayan mula terganggu apabila ada kawasan yang sudah tidak boleh dimasuki serta laluan untuk ke kebun ditutup. Kami khuatiri aktiviti itu akan mengganggu ekosistem semula jadi kawasan ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Sairul Nizam berkata, bantahan telah dikemukakan secara lisan kepada pihak berkenaan, namun jawapan yang diterima amat mengecewakan.

"Keadaan itu menyebabkan hasil tangkapan ikan air tawar berkurangan dan dikhuatiri akan lebih merosot lagi.

"Kami bercadang untuk kemukakan bantahan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kampung Gajah serta Pejabat Menteri Besar dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Penduduk, Shuhaini Abdul Sukor, 44, mengakui hasil sungai berkurangan apabila pendapatan harian merosot daripada RM100 kepada RM30 sehari.

"Selain itu, kami ada kemukakan permohonan untuk teroka kawasan sama bagi pertanian dan penternakan namun ditolak kerana ia merupakan rizab Pulau Burung.

"Lebih 30 tahun kawasan ini tidak diteroka dan sepanjang tempoh itu kami bergantung kepada hasil hutan dan sungai kini aktiviti kami mula terjejas," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan penduduk setempat bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai masalah tersebut.

Kata Wan Norashikin, pihaknya difahamkan sebuah anak syarikat kerajaan negeri telah meluluskan kuasa cari gali kepada empat syarikat terlibat.

"Kami dapati kumpulan penduduk Kampung Sungai Galah, Air Kuning dan persatuan nelayan yang tidak berpuas hati selepas tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan untuk mengambil hasil.

"Saya berharap anak syarikat kerajaan negeri bersama empat syarikat yang dilantik perlu mencari jalan terbaik bagi kepentingan bersama," katanya.

Beliau bercadang untuk mengadakan pertemuan bersama pihak terlibat bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi kedua-dua pihak.