Gagal ambil dua sampel urin punca anak Mat Sabu bebas

Ahmad Saiful Islam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka, dua tahun lalu.
Ahmad Saiful Islam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka, dua tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka, dua tahun lalu.

Ia selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan rayuan dikemukakan oleh anak ahli politik itu selaku perayu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang dikenakan Mahkamah Majistret pada tahun lalu.

Dalam penghakimannya, Collin berkata, mahkamah mendapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua botol sampel air kencing telah menyebabkan sabitan itu cacat.

Menurutnya, pengambilan hanya sebotol air kencing membuka kemungkinan berlakunya pencemaran kerana sampel yang sama digunakan oleh pihak polis untuk ujian saringan dan ahli kimia untuk ujian pengesahan.

“Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) F103 memerlukan dua botol plastik kosong dan bersih untuk mengumpul air kencing daripada suspek yang disyaki menyalahgunakan dadah.

“Perayu dalam kes ini, ada hak untuk sampel ujian air kencingnya diambil sebanyak dua kali,” katanya.

Collin berkata, suspek perlu diberi pilihan untuk memilih dua botol berkenaan yang mana sampel pertama untuk tujuan saringan pihak polis, manakala sampel kedua perlu dihantar ke hospital untuk pengesahan.

Katanya, botol kedua perlu ditutup dengan kemas dan selamat, sebagaimana garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bil 6/2002, yang memerlukan sekurang-kurangnya 30 mililiter (ml) sampel air kencing dalam satu botol.

Artikel Berkaitan:

Ekoran itu, mahkamah memerintahkan wang jaminan sebanyak RM9,000 dipulangkan kepada perayu.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, manakala perayu diwakili peguam-peguam Datuk Nicholas Kow, Nasar Khan dan Emile Ezra Hussain.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di sini pada jam 2.05 pagi, 5 Januari 2019.

Berdasarkan notis rayuan difailkan pada 2 Julai tahun lepas, Ahmad Saiful Islam merayu terhadap keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun 2020 yang mensabitkan perayu dengan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara selama lapan bulan.

Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful Islam, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah juga mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Ahmad Saiful Islam diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh keputusan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Dia diperintahkan membayar wang jaminan RM9,000 serta menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.