KPDNHEP Kelantan buka 13 pos bantu penduduk Dabong beli petrol

Adnan (dua dari kiri) semasa turun padang melakukan pemeriksaan berkala di pos menjual minyak petrol sekitar Dabong bagi memastikan pelanggaran undang-undang tidak berlaku di kawasan tersebut.
Adnan (dua dari kiri) semasa turun padang melakukan pemeriksaan berkala di pos menjual minyak petrol sekitar Dabong bagi memastikan pelanggaran undang-undang tidak berlaku di kawasan tersebut.
A
A
A

KUALA KRAI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mewujudkan 13 pos menjual minyak petrol di kawasan Dabong di sini bagi memastikan rakyat di kawasan pedalaman itu menikmati bahan api pada harga kawalan.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, program yang dimulakan sejak tahun 2011 itu merupakan inisiatif kerajaan bagi memastikan rakyat di kawasan Dabong menikmati subsidi sebagaimana yang dirasai oleh penduduk bandar.

"Stesen petrol terdekat dengan penduduk di kawasan ini adalah 50 kilometer (km) untuk perjalanan satu hala, jadi agak jauh untuk penduduk keluar mendapatkan bahan api itu.

"Oleh itu, kerajaan melalui KPDNHEP mengambil inisiatif mewujudkan pos ini bagi mengurangkan beban perbelanjaan penduduk di kawasan luar bandar membeli bahan api," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, setiap hari sebanyak 4,000 liter bahan api itu akan dihantar ke semua pos-pos yang telah dilantik sebagai pembekal kepada penduduk Dabong.

Beliau berkata, penghantaran itu bagi memastikan bekalan cukup dan rakyat dapat menikmati subsidi disediakan oleh kerajaan.

Adnan berkata, selain petrol, bahan kawalan lain turut dibekalkan menerusi program penyeragaman harga.

"Kerajaan sentiasa komited bagi memastikan rakyat di kawasan pedalaman tidak terbeban untuk mendapatkan barangan kawalan pada harga subsidi.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan berkala sentiasa dilakukan bagi memastikan pelanggaran undang-undang tidak berlaku di kawasan tersebut," katanya.

Pos berkenaan adalah Zulmajdi, (Kampung Kuala Gris), Munah (Kampung Dabong), Nor Ain (Kampung Pulau Layat), Alim (Kampung Jelawang), Sapawi (Kampung Kandek), Zulkifli (Kampung Biak), Asroha (Kampung Bukit Emas), Fauzi (Kampung Gual Chatak), Abu Nipah (Kampung Mahligai), Aslinda (Kampung Ingin Maju), Takiyudin (Kampung Slow Temiang), Khairul (Kampung Gemas Baru) dan Zulkarnain (Kampung Sungai Teku).