PRN Melaka: Perhalusi mekanisme pelaksanaan SOP, elak keliru

Tangkap layar hantaran di Facebook Wan Saiful pada Rabu.
Tangkap layar hantaran di Facebook Wan Saiful pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Mekanisme pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu diperhalusi supaya tidak mengelirukan orang ramai, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, ramai pihak masih keliru dengan SOP yang sepatutnya dilaksanakan dalam pilihan raya yang bakal diadakan pada bulan depan itu.

“Dalam sesi lawatan saya ke Melaka, ramai yang masih keliru. Contohnya, dalam salah satu lawatan baru-baru ini, ada sekumpulan wartawan yang datang bertanya soalan kepada saya.

“Tapi pihak berkuasa minta mereka bersurai sehingga para wartawan tertanya-tanya takkanlah mereka hendak jalankan tugas pun tidak boleh. Wartawan bukan berkempen,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Rabu.

Pada 24 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengeluarkan larangan untuk aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Pada masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Selasa memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang memuktamadkan penambahbaikan terhadap SOP PRN Melaka.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, kekeliruan berlaku berkaitan SOP PRN mungkin disebabkan pelaksanaannya yang masih di peringkat awal.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya memberikan masa kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas demi kebaikan rakyat.

Artikel Berkaitan: