Ops Helang: JKN Kedah keluar kompaun lebih RM62,000 di Langkawi

Dr Othman Warijo
Dr Othman Warijo
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM62,250 membabitkan kesalahan makanan yang disediakan tidak selamat untuk dimakan, pematuhan larangan merokok di premis awam dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis awam sempena Ops Helang yang diadakan di sekitar Langkawi pada 22 hingga 25 Oktober lalu.

Pengarah JKN Kedah, Dr Othman Warijo berkata, sebanyak 73 notis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada pemilik dan pekerja premis dengan jumlah nilai tawaran kompaun sebanyak RM21,250.

Menurutnya, 20 notis kesalahan merokok di kawasan larangan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 juga telah dikeluarkan iaitu dua di premis makanan, dua di kompleks beli-belah, enam di Jeti Feri Kuah dan 10 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, dengan jumlah kompaun sebanyak RM5,000.

"Bagi maksud penguatkuasaan di bawah Akta 342 melibatkan ketidakpatuhan kepada SOP, sebanyak 18 notis dikeluarkan dengan jumlah nilai tawaran kompaun sebanyak RM36,000.

"Ketidakpatuhan yang dikesan adalah kegagalan pemilik premis mempamerkan notis penerimaan pelanggan yang telah lengkap vaksinasi dan tidak bergejala sahaja di pintu masuk premis," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Othman berkata, sebanyak 139 premis telah diperiksa sepanjang operasi dan daripada jumlah tersebut, lima premis telah diarahkan tutup kerana tahap kebersihan yang rendah dan satu gudang makanan diarahkan tutup kerana terdapat infestasi tikus.

Menurutnya, kesemua premis yang diarah tutup itu telah diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 10 dan 11 Akta Makanan 1983.

"Sekiranya pengusaha telah mematuhi kesemua arahan pembersihan, mereka boleh memohon kepada pegawai diberi kuasa untuk memeriksa semula premis sebelum dibenarkan kembali beroperasi. Selain daripada itu, pelbagai kesalahan melibatkan pengendali makanan dan kebersihan premis makanan juga dikenal pasti," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Ops Helang diselaras bersama Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKN Kedah serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi melibatkan seramai 33 Pegawai Kesihatan Persekitaran/Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dari beberapa daerah di negeri Kedah dan anggota Polis Diraja Malaysia.

"Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menghubungi JKN Kedah atau PKD yang berdekatan sekiranya mempunyai sebarang aduan berkaitan kebersihan atau aktiviti merokok di premis makanan di negeri ini," katanya lagi.