KPM tiada rancangan wujud mata pelajaran khusus pengurusan kewangan

Mah Hang Soon
Mah Hang Soon
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat masa ini tidak merancang mewujudkan mata pelajaran khusus berkaitan pengurusan kewangan sebagai mata pelajaran mandatori.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon bagaimanapun berkata, elemen pengurusan dan perancangan kewangan merupakan satu daripada enam elemen dalam pendidikan kewangan yang telah diintegrasikan dalam kurikulum bermula daripada peringkat prasekolah hingga ke sekolah menengah.

“Elemen pengurusan dan perancangan kewangan dalam pendidikan kewangan menerapkan pengetahuan dan kemahiran merancang dan mengurus kewangan peribadi di samping menerapkan nilai kewangan secara rasional dan bertanggungjawab,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang bertanyakan adakah pihak kementerian mempunyai perancangan untuk menjadikan subjek pengurusan kewangan sebagai subjek mandatori di peringkat sekolah menengah bagi mengelak lebih ramai anak muda terdedah dengan masalah kewangan pada masa depan.

Mengulas lanjut, Hang Soon menambah, pengintegrasian elemen ini telah dilaksanakan dalam mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam pada peringkat menengah rendah dan menengah atas.

“Elemen ini turut diintegrasikan dalam mata pelajaran elektif iaitu Ekonomi, Prinsip Perakaunan, Perniagaan, Sains Rumahtangga dan Pertanian pada peringkat menengah atas,” katanya.

Jelasnya, melalui pelaksanaan pengintegrasian elemen tersebut dalam mata pelajaran teras dan elektif, pihaknya yakin murid-murid dapat mempelajari asas pengurusan kewangan yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

“Pendekatan ini secara tidak langsung akan melahirkan murid yang celik kewangan dan mendidik mereka daripada terdedah kepada masalah kewangan yang serius pada masa akan datang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: