Laporan audit: Pendakwaan pindah kes Najib didengar 14 Mac

 Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 14 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria berkata tarikh berkenaan ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahyuddin Mohmad Som ketika pengurusan kes di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam yang mewakili Ahli Parlimen Pekan itu, Syahirah Hanapiah.

"Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada pukul 9 pagi," kata Rozaliana yang juga memaklumkan tiada sebarang bantahan daripada pihak responden (Najib) berhubung permohonan berkenaan dan perkara itu turut disahkan Syahirah.

Rozaliana berkata pihak pendakwaan memfailkan notis permohonan untuk memindahkan kes itu daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 28 Februari lepas mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, permohonan itu hanya membabitkan Najib dan pihaknya masih belum menerima sebarang arahan untuk memindahkan kes dihadapi bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, yang didakwa bersubahat dengan Najib membabitkan isu sama, ke Mahkamah Tinggi.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Dia dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, pula didakwa bersubahat dengan Najib, 66, meminda laporan tersebut, bagi melindungi Anggota Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Januari 2019, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dam Arul Kanda dibicarakan bersama. - Bernama