Anggota tentera, rakan didakwa bunuh pesara tentera

Muhammad Ahmad (depan) dan Mohd Hafidz dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Taiping pada Rabu.
Muhammad Ahmad (depan) dan Mohd Hafidz dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Taiping pada Rabu.
A
A
A

TAIPING - Seorang anggota tentera dan rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam kejadian dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Hafidz Ibrahim, 34, yang merupakan pegawai waran dan Muhammad Ahmad Md Yusoff, 31, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Farah Syahidah Mohd Noh.

Mereka didakwa secara bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Mohd Zaki Md Aluwee, 42, di hutan bebas jarak lebih kurang 60 meter daripada Jalan Kubu Gajah - Lenggong antara jam 5.30 petang dan 10.50 malam pada 10 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Roslan Mohd Suki manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pesara tentera ditemui maut dengan sembilan kesan tikaman di badannya di kawasan semak di Bukit Sumpitan dekat Selama.

Perasaan cemburu dipercayai menjadi motif pembunuhan kejam itu apabila mayat mangsa berusia 42 tahun itu ditemui dalam keadaan hampir membusuk.

Artikel Berkaitan:

Mangsa adalah individu yang dilaporkan dilarikan secara paksa dari rumahnya oleh dua individu dikenali di Taman Ngah Ibrahim di sini.

Susulan itu, tangkapan dilakukan terhadap suspek pertama pada 12 Oktober di Taiping manakala anggota tentera itu pula diberkas di Perlis.