Pemandu forklift ditipu 'penasihat kewangan peribadi'

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu jentera pengangkat barang atau 'forklift' kerugian RM4,380 apabila ditipu individu yang menyamar sebagai penasihat kewangan peribadi sebuah bank di Selangor.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, individu tersebut menawarkan pinjaman sebanyak RM30,000 kepada mangsa dalam kejadian pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa berusia 38 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Ivan Lim Tian dan mendakwa sebagai kakitangan bank.

"Selepas berbincang, mangsa memberikan dokumen peribadi seperti penyata gaji selama tiga bulan, kad pengenalan dan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama dua tahun.

"Suspek kemudian meminta mangsa membuat pembayaran wang bagi proses pinjaman wang ke dalam nombor akaun yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan urusan kelulusan pinjaman, mangsa telah membuat empat transaksi secara talian ke dalam dua akaun diberikan suspek berjumlah RM4,380.

"Setelah bayaran dibuat, pada petang semalam (Selasa) suspek meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM1,212.42 sebagai bayaran pinjaman selama tiga bulan.

"Mangsa mula rasa curiga dan enggan membuat pembayaran itu. Mangsa kemudian membuat semakan dengan pihak bank bagi mengesahkan kesahihan pinjaman berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Semakan mendapati tiada permohonan dibuat dan pihak bank mendakwa pinjaman tersebut adalah palsu," ujarnya.

Mohd Wazir berkata, susulan itu, mangsa tampil ke Balai Polis Daerah Kuantan untuk membuat laporan.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memperdayakan mangsa dalam urusan pinjaman tidak wujud.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.