Tebus segera e-Rebat RM200

A
A
A

No Image Caption

1 akaun bil elektrik, 1 e-Rebat bagi 150,000 tebusan pertama sahaja.

Warganegara Malaysia yang menjadi pengguna atau pemilik akaun elektrik berdaftar (domestik) di syarikat utiliti elektrik seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan NUR Power Sdn. Bhd. masih berpeluang untuk menebus e-Rebat bernilai RM200 sehingga Disember 2021.

Sejumlah RM30 juta peruntukan telah disediakan oleh kerajaan menerusi pemberian e-Rebat melalui program SAVE 2.0 dan dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 150,000 isi rumah.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency atau SAVE2.0 yang dilancarkan bermula Januari lalu, merupakan satu program pemberian e-Rebat kepada mana-mana isi rumah yang membeli alat penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel empat (4) atau lima (5) bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) pada tahun 2021.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) merupakan kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pelaksanaan SAVE 2.0 dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) telah dilantik sebagai Agensi Pelaksana.

Melalui mesej ‘Jimat Wang, Jimat Tenaga dan Selamatkan Alam Sekitar’, program SAVE 2.0 dilaksanakan dengan objektif untuk meningkatkan jumlah bilangan kelengkapan elektrik cekap tenaga bertaraf 4 & 5 bintang serta peralatan cekap tenaga di pasaran.

No Image Caption

Program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai agar membeli peralatan elektrik cekap tenaga yang akan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik terutamanya bagi pengguna domestik.

SAVE 2.0 dijangka dapat menjimatkan kos tenaga sebanyak RM22.26 juta setara dengan jumlah karbon yang dapat dikurangkan melalui penyerapan oleh 56,340 pokok yang ditanam dengan jangka masa selama 10 tahun.

Cara penebusan

e-Rebat ini masih boleh ditebus sehingga hujung Disember tahun 2021. Pengguna domestik boleh menyemak kelayakan penebusan anda dengan melayari laman sesawang www.saveenergy.gov.my.

Anda boleh mendapatkan e-Rebat untuk pembelian secara dalam talian di platform e-dagang iaitu Lazada, Shopee dan PGMall. Anda juga boleh mendapatkannya melalui pekedai serta peruncit peralatan elektrik yang berdaftar dengan SEDA Malaysia.

Permohonan e-Rebat RM200 ini dijalankan secara first-come, first-served basis. Senarai pekedai atau peruncit peralatan elektrik yang berdaftar boleh disemak melalui http://www.seda.gov.my/ms/program-sustainability-achieved-via-energy-efficiency-save-2-0/.