'Jangan harap dana kerajaan'

Sokongan padu penyokong bola sepak tempatan mampu membangkitkan semangat Harimau Malaya pada Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.
Sokongan padu penyokong bola sepak tempatan mampu membangkitkan semangat Harimau Malaya pada Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.
A
A
A

HASRAT Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadi tuan rumah Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 boleh direalisasikan sekiranya badan induk itu dapat mencari pihak penaja.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, FAM perlu mencari penaja yang mahu bersama-sama dengan mereka terutamanya dalam aspek mengeluarkan kos.

Justeru, Mohd Sadek berkata, FAM harus bekerja keras mulai sekarang bagi mendapatkan penaja-penaja berkenaan dalam usaha memastikan aksi kelayakan itu dapat dianjurkan di negara ini kelak.

“Aksi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 masih boleh dianjurkan di Malaysia, namun ia perlulah dilengkapi dengan kehadiran penaja-penaja yang ingin bersama dengan FAM untuk menganjurkannya.

“FAM dan pihak penaja boleh bekerjsama menerusi perkongsian pintar (smart partnership). Daripada perkongsian berkenaan, ada pihak swasta yang boleh buat keuntungan besar dalam era pandemik ini.

“Soalnya bagaimana untuk FAM melakukan approach terhadap penaja-penaja berkenaan dan meyakinkan mereka terutamanya mengenai kelebihan dan kebaikan yang bakal diterima dan dinikmati nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Minggu lalu, FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Saifuddin Abu Bakar mengesahkan badan induk itu bersedia merebut salah satu daripada enam venue berpusat yang akan ditawarkan kepada semua 24 pasukan dalam saingan itu nanti.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sadek
Mohd Sadek

Biarpun terpaksa bersaing dengan enam lagi venue bagi tujuan mendapatkan hak penganjuran berkenaan, namun sekiranya berjaya, ia dilihat memberikan kelebihan buat skuad Harimau Malaya apabila dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Mengulas lanjut, Mohd Sadek berkata, FAM tidak boleh lagi mengharapkan dana daripada pihak kerajaan pada ketika negara kini berada dalam pelan pemulihan selepas dibadai pandemik Covid-19.

"Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) juga telah memaklumkan bahawa buat masa ini kerajaan memberikan keutamaan kepada usaha pemulihan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

“Ini bermakna FAM sememangnya tidak boleh lagi mengharapkan dana daripada kerajaan berhubung soal penganjuran ini, tetapi sebaliknya perlu bergerak sendiri mencari penaja.

“Di Eropah contohnya, mereka memberikan peluang kepada pihak swasta untuk menguruskan sukan dan tanpa melibatkan bantuan daripada pihak kerajaan. Malah, mereka ada menubuhkan yayasan sendiri bagi menguruskan pelbagai acara sukan dengan profesional di sana,” ujarnya.