Luqman Hakim harus bijak curi peluang

Luqman Hakim ketika aksi sulung Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Stadium MFF, Ulaanbaatar pada Isnin. - Foto FB FAM
Luqman Hakim ketika aksi sulung Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Stadium MFF, Ulaanbaatar pada Isnin. - Foto FB FAM
A
A
A

PENYERANG skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Luqman Hakim Shamsudin perlu tampil dengan permainan lebih kreatif ketika menentang Mongolia dalam aksi kedua Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Khamis.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Luqman Hakim tidak dapat bergerak bebas dalam pertemuan menentang Laos pada Isnin sehingga menyebabkan dia sukar bagi menggempur kubu lawan.

“Kalau kita lihat pada perlawanan semalam (Isnin), Luqman Hakim dikawal ketat oleh pemain pertahanan Laos, mungkin jurulatih pasukan lawan telah mengarahkan untuk berbuat demikian.

“Jadi Luqman Hakim tidak boleh kekal dalam satu posisi, mungkin dia boleh jadi pengumpan untuk tarik pertahanan lawan keluar daripada kawasan mereka bagi membolehkan rakan-rakannya masuk ke kotak penalti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Dalam aksi sulung kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia pada Isnin, skuad muda negara berjaya menundukkan Laos 1-0 hasil jaringan tunggal Muhammad Azfar Fikri Azhar.

Mengulas pertemuan menentang Mongolia, Mohd Azraai berkata, skuad kendalian Brad Maloney itu harus lebih berwaspada memandangkan lawan mereka itu memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

Malah, beliau turut mengingatkan skuad negara dengan kelebihan dari segi fizikal dimiliki Mongolia yang mampu ‘menjerat’ diri mereka sendiri.

“Orang Mongolia ini badan mereka besar dan kuat. Jadi kalau boleh elak daripada melakukan sentuhan fizikal dengan pemain Mongolia kerana kelebihan pasti lebih kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

“Corak serangan juga perlu divariasi sepertimana yang ditunjukkan pada separuh masa kedua menentang Laos. Jangan hanya tertumpu kepada satu cara serangan,” jelasnya.