Monorel Putrajaya dan insiden kereta disagat lori

Tular di media sosial rakaman CCTV yang memaparkan sebuah lori berwarna putih melanggar lebih 10 kereta di Kompleks E, Putrajaya.
Tular di media sosial rakaman CCTV yang memaparkan sebuah lori berwarna putih melanggar lebih 10 kereta di Kompleks E, Putrajaya.
A
A
A

RUNGUTAN tentang tempat letak kereta tidak mencukupi adalah masalah lama Putrajaya. Sejak dibuka pada tahun 1999, isu itu telah dibangkitkan.

Hendak dijadikan cerita, minggu lalu tular di media sosial rakaman CCTV yang memaparkan sebuah lori berwarna putih melanggar lebih 10 kereta di Kompleks E, Putrajaya.

Kejadian itu menyebabkan kereta yang diparkir di kiri kanan jalan calar teruk dan pecah cermin sisi. Merak Jalanan difahamkan kawasan itu tidak dibenarkan letak kenderaan selain menghalang laluan kenderaan lain.

Merak Jalanan kasihan juga dengan pemilik-pemilik kereta yang disagat lori itu. Siapa kerja di situ faham sangat kemudahan tempat letak kereta awam yang terhad. Walau ada yang berbayar tapi tak semua mampu kalau hari-hari kena bayar. Itu belum lagi duit petrol dan tol.

Ada hari bukan soal jauh atau berbayar, tapi semua parkir penuh. Kalau jauh sikit tapi ada petak kosong Merak Jalanan sendiri sanggup berjalan kaki atau kayuh basikal lipat, lagipun lebih sihat.

Ibu pejabat Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan iaitu dua kementerian yang mempunyai kakitangan teramai di Malaysia terletak di Kompleks E ini.

Merak Jalanan setuju dengan Cuepacs supaya masalah tempat letak kereta di Putrajaya diselesaikan secara menyeluruh. Ini termasuklah mempercepat projek monorel Putrajaya.

Isu projek monorel Putrajaya yang terbengkalai selama hampir 20 tahun dibangkit senator di Dewan Negara baru-baru ini, bagaimanapun timbalan menteri berkenaan tidak dapat memberikan tarikh sebenar projek itu dijangka siap.

Artikel Berkaitan:

Monorel Putrajaya dicadangkan mempunyai dua aliran, satu sepanjang 12 kilometer dengan 17 stesen dan satu lagi sepanjang 6 kilometer dengan enam stesen. Penduduk Putrajaya dianggarkan sekitar 30,000 orang sahaja pada 2007, tetapi 11 tahun kemudian jumlahnya naik tiga kali ganda kepada 92,000 pada 2018.

Sebab itu Merak Jalanan berharap projek itu cepat siap.