Hak pendidikan wanita belum setara

Berjuta kanak-kanak perempuan di seluruh dunia yang tidak berpeluang menyentuh buku dan masih terperangkap dengan masalah buta huruf.
Berjuta kanak-kanak perempuan di seluruh dunia yang tidak berpeluang menyentuh buku dan masih terperangkap dengan masalah buta huruf.
A
A
A

ARTIKEL ini sempena Hari Wanita Sedunia 8 Mac

Tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncang dunia... sekiranya diberi peluang.

Setiap tahun kita akan menyambut Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac sebagai tanda memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada kaum wanita dan peranannya dalam masyarakat dan negara tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi dan politik.

Namun sehingga kini, masih banyak isu berkait rapat dengan kesetaraan jantina yang masih belum menemui penyelesaian. Salah satu yang seharusnya dipandang berat adalah hak pendidikan yang setara untuk wanita.

Sepanjang sejarah perjuangan feminisme dan hak wanita, kita telah bekerja keras membawa perubahan merangkumi pelbagai isu termasuklah hak wanita untuk: hak gaji sama rata, hak keselamatan di tempat kerja daripada gangguan seksual, hak mendapatkan perlindungan daripada keganasan rumah tangga, penganiayaan seksual dan lain-lain isu berkaitan diskriminasi berdasarkan jantina.

Akan tetapi pada saya, hak paling penting untuk diperjuangkan oleh wanita adalah hak untuk mendapat pendidikan yang baik dan peluang untuk belajar sejak kecil. Malangnya, bukan semua wanita bertuah untuk mendapat peluang sedemikian. Pada saat ini, masih berjuta kanak-kanak perempuan di seluruh dunia yang tidak berpeluang menyentuh buku dan masih terperangkap dengan masalah buta huruf.

Sungguhpun masalah ini juga dihadapi kanak-kanak lelaki, namun kita tidak boleh menidakkan fakta bahawa lebih banyak peluang pendidikan kanak-kanak perempuan yang terjejas berbanding dengan kanak-kanak lelaki.

Terutamanya di negara dunia ketiga, banyak kanak-kanak terpaksa meninggalkan impian mereka untuk menjadi cikgu, doktor ataupun peguam dan dipaksa bersedia untuk memakai baju pengantin. Peluang untuk belajar diutamakan kepada abang ataupun adik lelaki, meskipun mereka ini tidak mempunyai minat untuk belajar.

Artikel Berkaitan:

Masih ada dalam kalangan masyarakat umum yang percaya bahawa kanak-kanak perempuan tidak memerlukan pendidikan terbaik dan tinggi. Pada pandangan mereka, perempuan hanya perlu bersedia untuk berkahwin dan disara oleh suami.

Sekiranya bernasib baik (mendapat suami yang berkemampuan), suami boleh menyumbang duit belanja kepada ibu bapa mertua dan “menyelamatkan” keluarga kanak-kanak perempuan itu. Ini merupakan pemikiran kolot dan fahaman yang akan membawa kepada kemusnahan.

Apa yang kita tidak sedar, dengan menyediakan peluang pendidikan yang baik kepada kanak-kanak perempuan, keajaiban boleh tercipta. Pemberdayaan wanita sejak kecil boleh membawa manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat malah kepada sesebuah negara.

Apabila kanak-kanak perempuan menerima pendidikan, secara automatiknya kadar celik huruf (literacy rate) akan meningkat. Lebih ramai perempuan yang akan mampu mendapat peluang pekerjaan yang lebih bagus. Lebih ramai perempuan tidak perlu berkahwin dan melahirkan anak pada usia yang tidak sepatutnya.

Ini juga boleh dilihat sebagai “Pulangan Pelaburan (Return-of-Investment)” yang tercipta melalui pelaburan terhadap pendidikan untuk kaum wanita. Bagaimanakah sesebuah negara mahu menjadi maju sekiranya 50% daripada rakyatnya (kaum wanita) tidak ada kemahiran untuk bekerja dan berbakti pada negara? Dengan menggalakkan wanita untuk mendapatkan pendidikan, secara tidak langsung akan mempengaruhi peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus menguatkan daya saing negara di peringkat global.

Jadi haruslah kita ingat, perjuangan untuk kanak-kanak perempuan bagi mendapat peluang pendidikan yang sama serta kesetaraan jantina bukanlah bertujuan untuk bersaing dengan kaum lelaki tetapi adalah bagi membangunkan bangsa dan negara.

Tarikh 8 Mac merupakan satu tarikh bagi menyambut dan meraikan wanita di dunia ini. Namun begitu, 8 Mac juga merupakan satu hari bagi memperingati bahawa perjuangan wanita wajib diteruskan!

Oleh itu, bersempena dengan Hari Wanita Sedunia pada tahun ini, Pusat Khidmat saya akan menganjurkan sebuah tayang filem dokumentari bertajuk: “Girl Rising” pada 22 Mac ini, jam 8 - 11 malam, bertempat di Twenty20Two, SS4D, Seksyen 22, 47301 Petaling Jaya. Ahli Parlimen Petaling Jaya, YB Maria Chin Abdullah akan hadir sama.

Tayangan ini sebagai salah satu inisiatif meningkatkan kesedaran tentang perjuangan serta isu-isu yang dihadapi oleh kaum wanita di seluruh dunia apabila hak mereka dicabul dalam kehidupan seharian mereka.

Kami berharap dokumentari “Girl Rising” ini dapat memberikan inspirasi kepada kita semua dalam memahami hak-hak wanita dan meneruskan perjuangan pemberdayaan wanita. Selamat Hari Wanita Sedunia!

* Penulis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama

#RencanaSinar