Biden umum inisiatif AS$100 juta perkasa kerjasama AS-ASEAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (bawah, kanan skrin) mendengar ucapan Biden pada Mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-9 ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (bawah, kanan skrin) mendengar ucapan Biden pada Mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-9 ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Hubungan Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN amat penting untuk masa depan satu bilion populasi, kata Presiden Joe Biden sambil menyatakan komitmen AS sebanyak AS$100 juta untuk inisiatif meningkatkan kerjasama dengan 10 negara anggota blok Asia Tenggara itu.

“Hubungan rakan kongsi ini penting bagi mengekalkan sebuah rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, yang menjadi asas terhadap keselamatan dan kemakmuran kita sejak berdekad-dekad lalu,” katanya dalam ucapan sulung beliau pada Sidang Kemuncak AS-ASEAN yang diadakan secara maya hari ini.

Biden berkata, AS menyokong teguh ASEAN dan masa depan Indo-Pasifik serta rantau yang berteraskan kedaulatan undang-undang.

“Hakikatnya, ASEAN amat penting, menjadi pusat terhadap kerangka sebenar Indo-Pasifik dan AS komited terhadap kepusatan ASEAN.

“Kerjasama berterusan kita berkembang menjadi semakin penting, tidak berkurangan, ketika kita berjuang bersama berdepan cabaran yang bakal mencorakkan kurun ke-21.

“Melangkah ke depan, menangani pandemik Covid-19.... berdepan dengan krisis iklim, mengukuhkan pertahanan siber kita serta menghasilkan teknologi baharu... menjunjung kebebasan di laut serta perdagangan dan banyak lagi... banyak lagi,” katanya.

Biden berucap sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak berkaitan yang dipengerusikan Brunei dengan tema 'We Care, We Prepare, We Prosper'.

Selepas menyepi selama empat tahun, ucapan Biden menjadi detik bersejarah kembalinya Presiden AS ke meja rundingan ASEAN selepas kali terakhir ketua negara AS menyertai sidang kemuncak ini adalah pada 2017 sewaktu pentadbiran Donald Trump.

Artikel Berkaitan:

Biden menegaskan, beliau ingin mendengar setiap ucapan pemimpin ASEAN serta perbincangan hari ini.

“Begitu juga saya mahu anda semua mendengar secara terus daripada saya, kepentingan kedudukan AS dalam hubungan kita dengan ASEAN. Anda boleh saksikan bahawa kami akan hadir.

“Seperti Naib Presiden (Kamala) Harris lakukan ketika lawatannya ke rantau ini baru-baru ini, anda juga boleh berharap saya sendiri akan hadir dan bertemu dengan anda,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa ASEAN boleh menyaksikan bahawa AS ‘akan mengukuhkan kerjasama yang sekian lama terjalin..... terus meneroka medan dialog peringkat menteri yang baharu... melabur di negara anda serta memacu secara inklusif kemakmuran di rantau yang amat penting ini’.

Biden mengulangi bahawa beliau ‘benar-benar berharap dapat bekerjasama dengan ASEAN untuk bukan sahaja dalam banyak lapangan bersama tetapi ‘ke arah perkongsian nilai dan wawasan serantau bersama dengan setiap negara boleh bersaing, beraksi dan berjaya di gelanggang’. - Bernama