Peneroka maut terkena tembakan

Anggota polis membantu mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Unit Forensik HTAA dari Klinik Kesihatan Bukit Goh.
Anggota polis membantu mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Unit Forensik HTAA dari Klinik Kesihatan Bukit Goh.
A
A
A

KUANTAN- Seorang peneroka Felda meninggal dunia akibat terkena tembakan dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Bukit Sagu 4 di sini pada Selasa.

Mangsa, Mohamad Omar, 67 dari Felda Bukit Sagu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.20 petang di Klinik Kesihatan Bukit Goh.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian dada kesan tembakan selain kesan luka pada bahagian tapak tangan.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menemui selaras senapang patah buatan sendiri.

"Hasil siasatan awal dan keterangan isteri mangsa, lelaki itu keluar rumah kira-kira jam 10 pagi untuk mengait buah kelapa sawit di ladang tersebut.

"Kira-kira jam 3.30 petang wanita itu menerima panggilan daripada suaminya (mangsa) memberitahu dia terkena tembakan pada bahagian dada.

"Wanita itu bersama rakan baik suaminya segera ke lokasi kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan parah.

"Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Goh untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Fotensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.