X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Asean, China perlu tingkat kerjasama kesihatan umum, farmaseutikal

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbincang dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa ASEAN dan China meningkatkan kerjasama dalam bidang kesihatan umum dan farmaseutikal menerusi perkongsian teknologi, pengetahuan dan hak intelek bagi menyokong pengeluaran vaksin serantau.

Sambil mengucapkan tahniah kepada China kerana menghasilkan vaksin Covid-19 yang membantu banyak negara memerangi pandemik Covid-19, Perdana Menteri berkata, kerjasama dalam bidang ini dapat membantu ASEAN memperkasa sistem kesihatan umum dan dapat lebih bersedia serta lebih efektif dalam menangani darurat kesihatan pada masa depan.

“Malaysia menghargai kerjasama rapat antara ASEAN dan China berhubung pandemik Covid-19. Ini termasuk dalam banyak fora dalam talian bagi berkongsi maklumat dan menyediakan latihan kepada profesional kecemasan.

“Malaysia turut menghargai sokongan dan sumbangan China kepada Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif ASEAN dan pelaksanaan pelan berkaitan,” katanya ketika berucap menerusi dalam talian sempena Sidang Kemuncak Asean-China ke-24 pada Selasa.

Mesyuarat dipengerusikan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah. Sidang itu diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak berkaitan. Hadir sama, Perdana Menteri China, Li Keqiang.

Kerjasama antara Asean dan China boleh diperluaskan ke bidang penyakit tidak berjangkit, kesihatan mental serta perubatan tradisional dan ubatan tambahan.

Ke arah membina masyarakat digital yang inklusif, Ismail Sabri turut menggesa ASEAN dan China untuk segera melaksanakan Inisiatif Pembangunan Rakan Kongsi Asean-China dalam bidang Ekonomi Digital seperti yang diluluskan pada Sidang Kemuncak pada tahun lalu.

Berhubung Laut China Selatan, Perdana Menteri mengulangi pendirian bahawa perkara berkaitan laut itu perlu diselesaikan secara aman dan konstruktif, sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Beliau berkata, semua negara perlu bekerjasama memastikan Laut China Selatan sebagai laut aman, stabil dan laluan perdagangan.

“Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan sudah diketahui umum. Bagaimanapun, Malaysia mengulangi bahawa kestabilan serantau amat kritikal terutama pada waktu sukar ini,” katanya sambil menambah, Malaysia berharap supaya Kod Tatalaku Laut China Selatan dapat disempurnakan dengan berkesan dan menyeluruh. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!