X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Malaysia sokong keputusan Pengerusi ASEAN berhubung perwakilan Myanmar

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbincang dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menyokong penuh keputusan Brunei selaku Pengerusi ASEAN, berhubung isu perwakilan dari Myanmar pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian menerusi Twitternya ketika mengulas kenyataan Malaysia pada sidang kemuncak tiga hari yang bermula Selasa yang diadakan secara maya.

Ketika mesyuarat menteri luar ASEAN pada 15 Oktober lepas, blok serantau itu mengambil langkah tegas mengecualikan Myanmar pada Sidang Kemuncak itu selain menolak permintaan kerajaan bayangan Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) untuk menyertai sidang berkenaan.

Kumpulan serantau itu sebaliknya memutuskan untuk mengundang wakil bukan politik bagi mewakili negara berkenaan.

Sejak kerajaan yang dipilih rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan junta pada 1 Februari, kekacauan meletus di Myanmar mengakibatkan hampir 1,000 orang awam terbunuh selepas bertempur dengan pasukan keselamatan.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38, Ismail Sabri turut menyentuh mengenai wabak Covid-19, dan menggesa ASEAN meningkatkan kerjasama dengan negara yang mempunyai pemikiran sama serta pertubuhan antarabangsa yang relevan ke arah memastikan vaksin pada harga mampu milik, mudah diperoleh selain dikongsi secara saksama selain mengutamakan diplomasi kesihatan menerusi kolaborasi lebih meluas.

Dalam menuju ke arah pemulihan pasca pandemik, beliau berkata adalah mustahak untuk kumpulan serantau itu menumpukan kepada pelaksanaan sepenuhnya Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif ASEAN dan operasi Kerangka Pengaturan Koridor Perjalanan ASEAN.

"Malaysia berharap untuk mewujudkan gelembung perjalanan lebih cepat dengan negara anggota ASEAN yang lain," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Pasukan Petugas Peringkat Tinggi (HLTF) yang menyediakan Wawasan Komuniti ASEAN 2025 seharusnya mampu menyiapkan ASEAN supaya menjadi lebih ampuh dalam menangani cabaran dan menerima perubahan.

Beliau menekankan bahawa perkumpulan serantau itu seharusnya mengenal pasti langkah membolehkan ASEAN dapat bekerja lebih efisien dan efektif sambil memanfaatkan sepenuhnya sumber.

“Masukkan segala peluang yang terbit daripada pengalaman dan pengajaran yang diperoleh daripada pandemik,” katanya.

Sementara itu, pada Sidang Kemuncak ke-39, beliau memberitahu, Malaysia menyeru Myanmar menunaikan komitmennya terhadap penghantaran pulang pelarian selain melindungi mereka yang pulang.

"Menangani punca krisis Rohingya kekal penting dalam usaha mencari penyelesaian kepada krisis itu. Situasi Rohingya di Myanmar tidak menunjukkan sebarang perkembangan yang baik dan mereka terus didiskriminasi dan dizalimi," katanya.

Sebagai sebuah negara yang secara langsung turut terkesan akibat krisis di Rakhine, beliau berkata, Malaysia akan terus menyokong usaha berterusan bagi membolehkan Rohingya kembali ke negara asal mereka dengan selamat, sukarela dan bermaruah.

Mengenai Laut China Selatan beliau menyatakan, Malaysia turut berpegang teguh terhadap pendirian bahawa segala aspek berkaitan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman dan konstruktif sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

“Malaysia mengulangi pendiriannya walaupun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan navigasi, peningkatan kehadiran kapal perang dan kapal di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan, boleh mengakibatkan pertimbangan yang salah yang boleh menjejaskan keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau," katanya.

Ismail Sabri menjelaskan, prinsip Pemusatan ASEAN adalah penting apabila melibatkan keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau, dan untuk menjadikan ia lebih berkesan, ASEAN mesti bersatu.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia kecewa dengan kurangnya perpaduan dalam isu yang boleh memberi kesan kepada keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau, iaitu kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

“Amat dikesali bahawa ASEAN tidak dapat mengeluarkan kenyataan mengenai pengaturan kerjasama tiga hala itu (AUKUS).

"Saya tidak akan menghuraikan kedudukan Malaysia berhubung pakatan itu kerana ia sudah diketahui umum, Malaysia akan terus mempertahankan prinsip dalam Perjanjian SEANWFZ dan deklarasi Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali.

"Turut dikesali bahawa untuk kali ketiga berturut-turut, ASEAN hanya mampu mengemukakan keputusan prosedural mengenai Perjanjian SEANWFZ pada sesi ke-76 Perhimpunan Agung PBB," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia turut kekal komited untuk meratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjelang hujung tahun ini kerana ia membantu mempercepat pemulihan serantau serta menjadikannya lebih berdaya tahan. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!