Rang Undang-Undang Hidupan Liar, Harta Pusaka Kecil diluluskan

Inti pati rancangan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun menjadi fokus sepanjang minggu ketiga persidangan Dewan Rakyat
Inti pati rancangan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun menjadi fokus sepanjang minggu ketiga persidangan Dewan Rakyat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 yang bersifat lebih responsif kepada keperluan semasa dalam membanteras jenayah hidupan liar.

Turut diluluskan Rang Undang-undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 melibatkan pindaan terhadap Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) yang antara lain melibatkan skop mewujudkan tafsiran dan peruntukan baharu meliputi bidang kuasa penyelesaian harta pusaka kecil lebih meluas.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 berkata, antara langkah yang dilaksanakan bagi mengekang penjualan hidupan liar secara dalam talian adalah dengan menubuhkan Pusat Perisikan dan Taktikal Antijenayah Hidupan Liar (INTAC).

“Ini ditubuhkan oleh kementerian yang bertujuan mengumpul, menganalisis dan menyelaras maklumat jenayah hidupan liar dan mengkoordinasi operasi penguatkuasaan,” katanya.

Sebelum itu, seramai 22 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan rang undang-undang itu antaranya Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat) yang meminta kerajaan meningkatkan kebajikan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), manakala Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mahu kerajaan meningkatkan elaun kritikal pegawai berkenaan.

"Elaun kritikal pegawai perhilitan sebanyak RM150 sudah bertahun-tahun tidak disemak. Mereka masuk ke hutan, digigit binatang berbisa, masuk dalam paya dan bermacam-macam kerja lagi namun elaun mereka begitu juga," kata Hasanuddin.

Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) mencadangkan kerajaan menggazet kawasan pembiakan hidupan liar yang semakin pupus antaranya orang utan yang sekali gus dijadikan tempat pelancongan, selain meminta diperketatkan kawasan sempadan negara bagi mengelakkan penyeludupan binatang eksotik.

Dalam pada itu, seramai 11 Ahli Parlimen mengambil bahagian perbahasan Rang Undang-undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.

Artikel Berkaitan:

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. -Bernama