Pindaan Akta 98 beri lebih pilihan dalam pengurusan harta pusaka

Takiyuddin Hassan - Foto Bernama
Takiyuddin Hassan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 memberi pilihan kepada rakyat dalam pengurusan harta pusaka untuk mendapatkan perkhidmatan pengurusan pusaka yang ditawarkan kerajaan.

Rang undang-undang itu dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Selasa oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan ini adalah kali pertama pindaan dibuat bagi Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98).

Takiyuddin berkata, ia adalah obligasi dan tanggungjawab kerajaan dalam membantu dan memudahkan urusan rakyat khususnya bagi mereka yang memerlukan dengan kadar rendah dan tidak membebankan.

“... saya yakin rang undang-undang yang dikemukakan ini akan dapat memenuhi kekangan undang-undang sedia ada dalam mengisi kelompongan (lacuna) dan melengkapkan peruntukan perundangan yang telah berkuat kuasa.

“... ini bagi memastikan pengurusan harta pusaka kecil negara dapat dikawal selia secara menyeluruh dengan cekap dan berkesan, di samping memenuhi aspirasi rakyat secara langsung,” katanya.

Pindaan rang undang-undang itu, antara lain melibatkan skop mewujudkan tafsiran dan peruntukan baharu meliputi bidang kuasa penyelesaian harta pusaka kecil yang lebih meluas serta menyediakan pelbagai alternatif untuk memberi kemudahan kepada rakyat dalam pengurusan permohonan pembahagian harta pusaka kecil.

Pindaan itu turut mencadangkan skop untuk memperbaiki struktur tadbir urus pengurusan permohonan harta pusaka kecil melalui kaedah perundangan bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan yang optimum.

Selain itu, skop ketiga pula memberi pilihan kepada rakyat dalam mengemukakan petisyen pembahagian dan memperkenalkan peruntukan baharu yang dapat memendekkan tempoh masa penyelesaian harta pusaka kecil.

Artikel Berkaitan:

Skop pindaan terakhir rang undang-undang itu mencadangkan untuk mengadakan peruntukan pengemukaan petisyen secara elektronik dan menambah baik peruntukan kecil sedia ada bagi memperkemaskan pengurusan harta pusaka kecil. - Bernama