Senator syor kerajaan naikkan cukai vape

Mohd Hisamudin
Mohd Hisamudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disyorkan supaya menaikkan kadar cukai yang dikenakan terhadap jualan vape di samping turut mengenakan cukai terhadap cecair vape bernikotin.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, cadangan langkah tersebut adalah bagi membolehkan kerajaan untuk menambah hasil pendapatan negara.

Katanya, kadar cukai 40 sen bagi setiap mililiter (ml) jualan cecair vape pada ketika ini dilihat masih agak rendah dengan mengambil kira sumbangan industri tersebut yang dijangkakan mencecah RM10 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Menurut laporan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyatakan kutipan eksais cecair vape berjumlah RM100,000pada suku tahun ini. Ia jauh lebih rendah berbanding anggaran industri sebanyak RM300 juta setahun.

“Kutipan yang rendah ini adalah disebabkan oleh pelaksanaan eksais rokok elektrik ini hanya kepada cecair tanpa nikotin, yang mewakili tiga peratus daripada keseluruhan pasaran.

“97 peratus selebihnya adalah cecair vape bernikotin yang tidak dikawal selia dan tidak dikenakan cukai,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 di Dewan Negara pada Selasa.

Mohd Hisamudin berkata, beliau percaya langkah kerajaan mengenakan cukai kepada cecair bernikotin akan mampu menjadikan ia sebagai antara sumber baharu ekonomi negara.

Dalam pada itu, beliau turut menyanggah dakwaan bahawa pelaksanaan Cukai Keuntungan Luar Biasa bakal menjejaskan pelaburan di Malaysia untuk jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya, daya tarikan para pelabur terhadap Malaysia bukan saja kerana faktor percukaian dan peluang ekonomi tetapi juga bergantung kepada faktor kestabilan politik.

“Jika politik kita tidak stabil, kerajaan sering bertukar-tukar, titah Yang di-Pertuan Agong tidak kita dihiraukan, ia juga akan mendorong kepada kurang minatnya para pelabur menanam modal ke dalam negara kita.

“Sebab itu, kita harus memastikan keadaan politik negara ini stabil dan tidak goyah. Secara tidak langsung, ia akan membantu pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19 yang lebih cepat,” ujar beliau.

Dewan Negara pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 yang bertujuan menambah baik pentadbiran levi keuntungan luar biasa.