Shafee mohon padam separuh pernyataan saksi

Muhammad Shafee berjalan keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, menghadiri perbicaraan berhubung dua pertuduhan yang dihadapinya iaitu menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Najib Tun Razak dan pertuduhan mengemukakan kenyataan tidak tepat dan bercanggah kepada LHDN. - Foto Bernama
Muhammad Shafee berjalan keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, menghadiri perbicaraan berhubung dua pertuduhan yang dihadapinya iaitu menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Najib Tun Razak dan pertuduhan mengemukakan kenyataan tidak tepat dan bercanggah kepada LHDN. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada Selasa mengemukakan bantahan terhadap lebih separuh daripada pernyataan saksi bertulis bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas alasan ia sebagai pendapat dan kesimpulan mengenai kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapi peguam itu.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pembelaan mendapati 33 daripada 51 perenggan pernyataan Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad perlu dipadam kerana dakwaan unsur prejudis.

“Pernyataan saksi ini mengandungi 13 muka surat dan terdapat 51 perenggan. Saya membuat pemohonan supaya 33 perenggan daripada pernyataan saksi ini dibuang kerana beliau bukan pakar undang-undang untuk memberi keterangan-keterangan sedemikian,” kata Harvinderjit di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Beliau membuat bantahan itu sebelum Syed Nasrul Fahmi, yang merupakan saksi ketujuh pendakwaan, memberi keterangan.

Semasa prosiding itu, Harvinderjit membacakan beberapa perenggan dan menegaskan bahawa pernyataan Syed Nasrul Fahmi seolah-olah menunjukkan bahawa saksi itu telah mendapati anak guamnya (Muhammad Shafee) bersalah, sesuatu yang hanya boleh dilakukan oleh seorang hakim.

“Agak pelik apabila seseorang membaca pernyataan saksi. Kelayakan saksi adalah dalam perakaunan dan bukan undang-undang, namun dia memberi pendapat tentang tafsiran peruntukan Akta Cukai Pendapatan. Itu pendapat undang-undang dan orang yang boleh memberi pendapat undang-undang adalah Yang Arif,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz berkata, isu yang dibangkitkan pihak pembelaan sangat serius.

“Sekiranya mahkamah memutuskan tidak memihak kepada kami, bermakna kami tidak boleh menggunakan pernyataan saksi sama sekali. Jika dipadam, ia akan menjejaskan bukti yang akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Kami membantah bantahan itu dan ingin menanganinya terlebih dahulu pada tarikh lain,” kata TPR.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Muhammad Jamil mencadangkan saksi itu membacakan pernyataannya terlebih dahulu pada sesi akan datang supaya pihak pembelaan dapat menunjukkan di mahkamah perenggan yang mereka ingin padamkan.

Perbicaraan bersambung 8 Disember.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014. - Bernama