Persidangan Dewan Negara ditangguh

Rais bergambar bersama para ahli Dewan Negara selepas selesai Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
Rais bergambar bersama para ahli Dewan Negara selepas selesai Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 Dewan Negara yang berlangsung selama 13 hari sejak 4 Oktober lepas ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim ketika mengumumkan penangguhan tersebut berkata, perjalanan persidangan kali ini mencatatkan sejarah penting apabila tiga Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara berserta keanggotaannya telah dibentangkan dan dipersetujui dalam Dewan Negara.

Tiga Jawatankuasa Pilihan Khas itu ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat; Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus Integriti dan Antirasuah.

"Kesemua Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan menjadi sekutu penting kepada usaha mentransformasi Parlimen.

"Besarlah hasrat saya agar Ahli-ahli Yang Berhormat semua dapat sederap, selangkah dan seiringan untuk kita mengangkat bukan sahaja Dewan Negara ini agar menjadi sebuah Dewan perundangan yang benar-benar dihormati tetapi lebih penting Parlimen itu sendiri berupaya kita daulatkan," katanya.

Beliau berkata, sepanjang persidangan itu berlangsung, Dewan Negara telah meluluskan tiga rang undang-undang iaitu Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021, Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020.

Selain itu, Rais berkata, Dewan Negara turut sebulat suara meluluskan Usul Transformasi Parlimen dan membuat ketetapan bahawa transformasi institusi legislatif itu mesti disegerakan.

"Ia eliputi aspek pengasingan kuasa, meminda dan memperkasakan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas yang mempunyai kuasa perundangan, memperkenalkan Kod Etika Ahli Parlimen serta menggesa pindaan Perlembagaan bagi maksud Perkara 45(4)(a) dan (b)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai serta kakitangan bahagian Pengurusan Dewan Negara dan Parlimen yang menjayakan persidangan kali ini serta memastikan tidak berlaku penyebaran Covid-19. - Bernama