Kes jenayah narkotik di Kuala Lumpur catat penurunan sejak 2019

Azmi menunjukkan kertas siasatan yang akan dilupuskan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Selasa.
Azmi menunjukkan kertas siasatan yang akan dilupuskan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes jenayah narkotik di Kuala Lumpur mencatatkan penurunan secara konsisten sejak tahun 2019 sehingga 24 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kasim berkata, pada tahun 2019, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur mencatatkan sebanyak 12,949 kes melibatkan 16,949 tangkapan dan rampasan dadah mencecah RM29 juta.

Menurutnya, jumlah tersebut mencatatkan penurunan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 9,048 kes membabitkan 11,224 tangkapan serta nilai rampasan berjumlah RM149 juta.

"Dalam tahun ini sehingga 24 Oktober pula, bilangan kes yang disiasat ialah 7,765 dengan tangkapan seramai 9,732 orang dan nilai rampasan mencecah RM49 juta," katanya dalam sidang akhbar Pelupusan Kertas Siasatan dan Barang Kes Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan pelupusan kertas siasatan jenayah narkotik dan barang kes dadah yang selesai perbicaraan.

"Kertas siasatan yang dilupuskan melibatkan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983 dari tahun 1982 hingga 2015 yang telah selesai berjumlah 13,935 kertas siasatan. Barang kes dadah dilupuskan dari tahun 2008 hingga 2020 melibatkan sejumlah 8,653 rampasan pelbagai jenis dadah," katanya.

"Antara dadah akan dilupuskan adalah 237,022 gram methamphetamine bernilai RM23.7 juta; kanabis 179,246 gram (RM8.96 juta); mitragynine 131,895 gram (RM13,000); heroin 55,761 gram (RM1.95 juta); dan caffeine 14,314 gram (RM4,000)," katanya.

Selain itu, dadah jenis ketamin seberat 10,003 gram, air ketum sebanyak 202,840 mililiter dan lain-lain bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah turut dilupuskan.

Artikel Berkaitan:

"Anggaran berat keseluruhan dadah dilupuskan ialah 776,685 gram dan 372,295 mililiter dengan nilai harga pasaran dianggarkan berjumlah RM39.36 juta. Kebolehgunaan dadah ini meliputi 1.15 juta pengguna," katanya.